Tidak sampai dua minggu masa berlalu selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah, Tun Mahathir Mohamad kini sudah mula menunjukkan tanda-tanda ingin menyokong kepimpinan Presiden Bersatu itu sebagai Perdana Menteri.
Bermula dengan mengatakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin tidak akan berjaya dan kemudian yakin Presiden Bersatu itu mampu bertahan sehingga PRU15, Tun Mahathir juga menyambut baik pembentukan kabinet yang baru diumumkan minggu lalu.
Ia tentunya, antara lain kerana Muhyiddin tidak menyenaraikan nama beberapa pemimpin UMNO yang terkait dengan kes rasuah dan sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah dalam barisan kabinetnya.
Walaupun belum menyokong secara berterus terang atau sepenuhnya, tetapi itulah yang tersirat daripada kenyataan-kenyataan Tun Mahathir dalam beberapa hari sebelum ini.
Tambahan lagi, dalam beberapa kenyataannya juga Tun Mahathir semakin menyerlahkah isi hatinya menolak dan tidak mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, walaupun beliau sendiri sudah terbuang daripada jawatannya.
Untuk sementara waktu, hasrat Tun Mahathir mahu menolak Anwar itu sudah pun tercapai, setidak-tidaknya sehingga PRU15 akan datang.
Namun demikian, berhubung kedudukan Bersatu dalam PN yang kini membentuk kerajaan dan hubungannya dengan Muhyiddin, Tun Mahathir berkata,!perkara itu akan diselesaikan dalam Perhimpunan Agung parti pada Jun ini.
Sepertimana yang kita sedia maklum, walaupun Muhyiddin adalah Presiden Bersatu dan Tun Mahathir merupakan Pengerusi, kuasa sebenar memimpin dan mengetuai parti adalah terletak di tangan Pengerusi.
Meskipun hanya petang ini baru diketahui siapa yang akan menawarkan diri bertanding semua jawatan dalam MPT Bersatu kerana hari ini 16 Mac adalah hari untuk calon-calon mendaftarkan pencalonan bagi jawatan yang ingin ditandingi, berdasarkan kenyataan Tun Mahathir yang mahu hubungan beliau dengan Muhyiddin diselesaikan dalam Perhimpunan Agung, adalah jelas beliau mahu terus mempertahankan jawatannya.
Sesuai dengan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan mahu menguasai Bersatu pula, Muhyiddin turut dilapor dan diyakini akan menawarkan diri bertanding jawatan Pengerusi juga.
Jika itu berlaku, bermakna akan berlaku pertembungan antara Tun Mahathir dengan Muhyiddin bagi merebut jawatan Pengerusi Bersatu.
Kekosongan jawatan Presiden, dengan itu sudah pasti akan membuka ruang kepada Mukhriz Mahathir yang kini merupakan Timbalan Presiden Bersatu untuk menawarkan diri bagi jawatan tersebut.
Seterusnya, paling mungkin Redzuan Mohd Yusof atau Pak Wan yang merupakan penyokong kuat Muhyiddin dan kini merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas akan berlawan dengan Mukhriz bagi jawatan Presiden Bersatu.
Dengan dua jawatan tertinggi itu bakal dipertandingkan, satu daripada kem yang berada dalam kerajaan dan satu lagi kem yang berada sebagai pembangkang, tidak dapat tidak, pemilihan Bersatu Jun nanti pasti sengit dan menarik.
Jika gandingan Muhyiddin dan Pak Wan yang menang, kedudukan PN sebagai kerajaan barangkali tidak berdepan sebarang masalah, malah tentunya akan menjadi bertambah kukuh.
Masalah hanya akan timbul jika gandingan Tun Mahathir dan anaknya, Mukhriz berjaya menguasai Bersatu dan membuatkan Muhyiddin terkeluar daripada menguasai Bersatu.
Mampukah Muhyiddin bertahan sebagai Perdana Menteri tanpa sebarang jawatan dalam parti, sebaliknya hanya sebagai Ahli Parlimen biasa saja?
Lebih parah, apa jadi selepas itu jika Tun Mahathir membuat keputusan mengumumkan Bersatu keluar daripada PN dan tidak mahu bekerjasama lagi dalam entiti kerajaan itu?
Memang pelbagai kemungkinan buruk yang sukar dijangka bakal berlaku jika Muhyiddin kecundang, tetapi semua itu hanya akan menjadikan suasana politik negara terus bertambah kalut dan serabut jadinya.
Jika sebelum ini, ia dikalutkan dengan keengganan Tun Mahathir bertegas mengenai peralihan kuasa kepada Anwar dan kemudian secara tiba-tiba meletakkan jawatan yang membuatkannya terhumban kehilangan sokongan, kekalutan politik yang berlaku seterusnya ini, yang nyata ia adalah disebabkan oleh Tun Mahathir juga sebagai pencetusnya.
Kalau dikira dengan pelbagai cetusan kekacauan yang dilakukannya sebelum ini, termasuk semasa berkuasa selama 22 tahun dengan bermusuh dengan tiga timbalannya, menjatuhkan Pak Lah dan menumbangkan Najib, terlalu banyak ketidakstabilan dalam negara dicetuskan oleh beliau sebenarnya.
Apakah dalam hal ini Tun Mahathir mahu dikenali sebagai pencetus kekacauan dan huru hara dalam politik sehingga ke hujung nyawanya?
Untuk itu, sesuai dengan kenyataannya bahawa undi tidak percaya kepada Muhyiddin tidak akan berjaya serta yakin Perdana Menteri mampu bertahan sehingga PRU15 akan datang, adalah lebih baik Tun Mahathir tidak lagi menawarkan diri untuk mengekalkan jawatannya dalam pemilihan Bersatu Jun depan ini.
Beliau mesti membuktikan kata-katanya itu sebagai kenyataan yang boleh disaksikan bukan merupakan omong kosong dan perlu menyerahkan Bersatu kepada Muhyiddin sepenuhnya menguruskan parti itu.
Sepadan dengan kedudukan Muhyiddin kini adalah Perdana Menteri, jawatan Pengerusi Bersatu juga perlu dipegang olehnya demi kestabilan kerajaan PN yang sedang diketuainya.
Menuju usia 95 tahun, sekarang adalah masa terbaik untuk Tun Mahathir bersara saja, biarkan Muhyiddin mentadbir negara ini tanpa menerima nasib seperti Pak Lah atau Najib sebelum ini.
Dalam PRU15 nanti, biarlah rakyat membuat penentuan semula siapa Perdana Menteri yang mahu mereka pilih tanpa sebarang elemen atau kacau ganggu daripada beliau lagi.
(ShahbudinHusin 16/03/2020)