KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menafikan mesej yang tular dalam media sosial hari ini bahawa Malaysia akan dikenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown) esok ekoran penularan COVID-19.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, dalam sebuah hantaran menerusi akaun Facebook rasminya, berkata penyebaran infografik mengenai ‘lockdown’ di negara ini esok adalah palsu.
“Tiada sebarang perintah ‘lockdown’ buat masa ini. Mohon hentikan penyebaran khabar palsu seperti ini,” katanya.
Sejak petang tadi, tular satu infografik yang dikongsi netizen melalui Facebook dan WhatsApp dengan tanda pagar #Malaysialockdown pada Isnin 16 Mac 2020, 8 hingga 10 pm.
Infografik itu juga menyebut COVID-19 Hour dengan mengandungi beberapa larangan iaitu jangan keluar dari rumah, jangan keluar ke tempat awam seperti pasar raya dan restoran serta sembahyang dan berdoa.
Ia juga menyuruh rakyat Malaysia supaya berada di kediaman masing-masing.
Bagaimanapun, dalam hantaran yang sama, Dr Adham menggesa rakyat Malaysia mematuhi nasihat kesihatan dan penjarakkan sosial satu meter yang diberikan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesihatan.
Sebanyak 190 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes.
— BERNAMA