Shahbudin Husin
Majoriti rakyat secara umumnya menolak tiga perkara berikut
sebagaimana yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2021, 6 November lalu.
#Pertama, rakyat
menolak dan tidak gembira dengan keputusan kerajaan tidak membenarkan pencarum
mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dengan jumlah maksimum RM10,000.
#Kedua, rakyat
juga menolak, kecewa dan tidak gembira kerana kerajaan enggan melanjutkan
moratorium pinjaman bank antara tiga hingga enam bulan lagi.
#Ketiga,
rakyat turut menolak, kecewa dan marah dengan keputusan kerajaan mahu
menghidupkan semula Jasa serta memberi peruntukan besar untuk jabatan itu
memulakan operasinya tahun depan sebanyak RM85.5 juta.
Tanpa ragu-ragu, boleh dikatakan lebih 90 peratus rakyat
didapati menolak tiga perkara di atas, malah ia juga dipercayai akan menjadi
inti perbahasan Ahli-Ahli Parlimen PH, BN dan lain-lain yang sealiran dengannya
yang bermula hari ini.
Dalam erti kata lain, penolakan itu adalah suara besar rakyat
yang jelas tidak setuju dan ia boleh didengar di mana-mana – di kedai kopi,
lobi hotel, dalam perbualan suami isteri di meja makan, dalam media sosial dan
sebagainya.
Walaupun Yang di-Pertuan Agong ada bertitah agar Belanjawan 2021
diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen, tetapi asas baginda mengeluarkan titah
demikian tentulah dengan harapan agar kepentingan dan keperluan rakyat sentiasa
diambil kira oleh kerajaan.
Ternampak sekarang, di sebalik titah Agong itu, kerajaan PN
pimpinan Muhyiddin Yassin seolah-olah cuba mengambil kesempatan daripadanya
dengan merangka belanjawan yang tidak berpihak kepada rakyat, bahkan lebih
menjurus kepada agenda politik peribadi.
Bagi Ahli-Ahli Parlimen pula, oleh kerana mereka sendiri dipilih
oleh rakyat, sudah tentulah mereka akan dianggap songsang jika menyokong
Belanjawan 2021 yang nyata tidak disukai rakyat.
Keutamaan bagi Ahli-Ahli Parlimen ialah mereka berperanan melakukan
sesuatu yang bermanfaat untuk rakyat dan menolak perkara-perkara lain yang
tidak dipersetujui rakyat.
Jika mereka menyokong juga perkara yang tidak dikehendaki
rakyat, kemungkinan mereka ditolak dalam PRU seterusnya adalah cerah sekali.
Tidak guna sebenarnya bagi Ahli-Ahli menyokong Belanjawan 2021
ini jika hasilnya tidak memberi manfaat, malah terus menjadikan kehidupan
rakyat dalam derita yang lebih panjang.
Untuk itu, adalah penting bagi Ahli-Ahli Parlimen berbahas
secara kritikal, mengemukakan cadangan yang pro rakyat serta mengambil sikap
berani menekan kerajaan agar tiga perkara di atas yang ditolak rakyat itu dapat
ditarik balik oleh kerajaan sebelum hari pengundian.
Jika kerajaan berkeras juga mahu melaksanakannya, maka pilihan
yang ada ialah menolaknya ketika pengundian diadakan.
Bukan saja Ahli-Ahli Parlimen PH, BN dan lain-lain yang harus
menolaknya, bahkan mereka daripada kelompok PN sendiri pun seharusnya berani
mengambil pendirian yang sama.
Hanya dengan sikap sedemikian, Ahli-Ahli Parlimen benar-benar
akan dilihat berperanan secara terpuji untuk kepentingan rakyat serta layak
digelar wakil rakyat.
Buat apa menyokong Belanjawan 2021 yang dalam waktu yang sama
sokongan itu juga bererti memanjangkan lagi hayat politik Muhyiddin, sedangkan
tindakan sedemikian boleh menyebabkan kemarahan serta kebencian rakyat.
Menolak belanjawan yang tidak memberi manfaat rakyat bukanlah
bermakna Ahli-Ahli Parlimen ingkar kepada titah Agong, malah lebih untuk
mengutamakan rakyat yang berada di bawah naungan Agong itu sendiri.
Lagi pula, untuk jangka panjang, yang lebih diperlukan oleh
Ahli-Ahli Parlimen ialah sokongan dan berbuat apa yang disukai rakyat, bukannya
menyukakan hati Muhyiddin.
Sama ada dengan penolakan Belanjawan 2021 akan menyebabkan
sebuah kerajaan baru dibentuk atau PRU mengejut terpaksa diadakan, mereka yang
bersikap mengutamakan rakyat pasti sentiasa ada dalam hati dan jiwa rakyat,
selain tiga perkara yang menjadi kebencian itu dapat diubahsuai segera.