Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa curiga
terhadap unjuran kerajaan berkenaan pemulihan ekonomi tahun depan.
Kerajaan meramal pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK)
pada kadar 4 ke 7.5 peratus.
Tetapi menurut Mahathir, ramalan ini “terlalu optimistik”,
dengan hutang kerajaan dijangka mencecah RM1.3 trilion selepas pinjaman untuk
melaksanakan belanjawan.
“Hasil kerajaan pasti menyusut semasa wabak ini. Tetapi kerajaan
perlu tawarkan pakej rangsangan. Ini menelan banyak wang.
“Tambahan pula, kerajaan perlu membayar pinjaman dan
mengurangkan wang pokok (pinjaman).
“RM35 bilion diperlukan untuk ini. Jumlah perbelanjaan caj ialah
RM72.3 bilion, atau 30.6 peratus daripada perbelanjaan mengurus RM236.5 bilion.
“Saya harus akui, saya betul-betul takut. Ini ialah belanjawan
gergasi, tetapi bolehkah kita cari duit untuk membiayainya? Hutang kerajaan
akan menjadi RM1.3 trilion.
“Macam mana kita nak bayar?” soalnya dalam satu kenyataan hari
ini.
Katanya, hasil kerajaan akan menyusut setelah perniagaan yang
terjejas tidak dapat membayar cukai, atau membayar kurang kepada kerajaan.
Katanya, prestasi Petronas dan industri pelancongan adalah tidak
memberangsangkan dan ini memberikan kesan kepada hasil kerajaan.
“Semua industri teruk terkesan. Saya tak fikir cukai korporat
dan cukai pendapatan akan dapat mencapai separuh pun daripada angka normal
ketika waktu biasa,” katanya.
Tegas Mahathir, pemulihan ekonomi tidak akan terjadi dalam kadar
segera - sebaik negara memasuki tahun 2021.
“Bukan polisi yang menumbuhkan ekonomi, tetapi pelaksanaan
polisi (itu sendiri).
“Pernah terjadi, projek berbilion ringgit tetapi tertangguh
beberapa tahun.
“Kalau pelabur desak, dia akan berdepan penangguhan yang lebih
lama lagi.
“Jadi janganlah sangka sebaik tiba 1 Jan, industri akan mula
berjalan semula atau dilancarkan.
“Angan-angan bahawa pemulihan ekonomi akan berlaku segera sebaik
wabak Covid-19 di atasi, tidak akan berlaku.
“Wabak ini takkan berakhir menjelangnya tahun baru,” tambahnya.
Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku
Zafrul Abdul Aziz di parlimen baru-baru ini, pentadbiran Perikatan Nasional
(PN) mengunjurkan hasil kerajaan akan meningkat ke RM236.9 bilion, berbanding
jangkaan RM227.3 bilion untuk tahun ini.
Penganalisis juga turut menegaskan bahawa unjuran pertumbuhan
KDNK antara 6.5 ke 7.5 peratus adalah tidak realistik.