TERCAPAI JUGA HASRAT MUHYIDDIN MAHU DARURAT, TAPI MAMPUKAH IA MEMBUAT BELANJAWAN TIDAK DITOLAK?

 

Hasrat terpendam hati Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat terlaksana juga akhirnya setelah cadangan kerajaan berkaitan perkara tersebut telah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong semalam.

Begitu pun, tidak seperti cadangan asal yang tolak oleh Agong sebelum ini, darurat yang dibenarkan ini hanya untuk menangguhkan PRK Batu Sapi saja.

Berbeza dengan rancangan asalnya, darurat yang ditolak itu adalah untuk menggantung Parlimen, menangguhkan pembentangan Belanjawan 2021 dan memastikan beliau kekal berkuasa tanpa kemungkinan dijatuhkan melalui pengundian belanjawan ditolak di Parlimen.

Dalam hal tersebut, majoriti rakyat menjunjung kasih atas kebijaksaan dan keprihatinan Agong lantaran menolak cadangan Muhyiddin itu.

Dengan penolakan itu, demokrasi terus subur, Parlimen berjalan seperti biasa dan Belanjawan 2021 bukan saja terpaksa dibentangkan, malah harus juga melalui proses pengundian.

Kalau menang undian belanjawan, bolehlah Muhyiddin terus kekal, tetapi jika tewas, terpaksalah berundur secara terhormat.

Meski demikian, dengan darurat di Batu Sapi dibenarkan, Muhyiddin malam tadi terlihat seolah-olah puas hati dapat muncul lagi di kaca TV melalui perutusan khas memperincikan perkara tersebut, walaupun rata-rata rakyat sudah makin benci dan tidak mahu lagi menonton wajahnya.

Realitinya, tidak sukar memahami bahawa darurat di Batu Sapi lebih kerana keghairahan Muhyiddin untuk mengekalkan kuasa politiknya semata-mata.

Ini berikutan, kerusi tersebut dimenangi Warisan pada PRU14 lalu dan dalam keadaan Covid19 yang belum pulih sekarang ini, hampir semua parti, kecuali Bersatu, telah menyatakan persetujuan untuk tidak meletakkan calon dan memberi kemenangan percuma kepada Warisan pada PRK Batu Sapi yang telah ditetapkan 5 Disember depan.

PH, BN, PBS, SAPP dan STAR adalah antara parti yang telah menyatakan komitmen untuk tidak bertanding dalam PRK tersebut.

Hanya Bersatu yang sehingga ini menangguh-nangguh pengumuman sama ada mahu meletakkan calon atau tidak.

Tetapi, dengan darurat dicadangkan untuk perkenan Agong semalam, nyatalah bahawa Bersatu memang mahu meletakkan calonnya di Batu Sapi.

Nampaknya Muhyiddin telah menunjukkan kerakusannya dengan sanggup menggunakan darurat untuk kepentingan politik kuasa dan kepartiannya.

Kenapa Bersatu tidak boleh bertolak ansur dan berkorban dengan sama-sama seperti parti lain tidak meletakkan calon serta membiarkan saja Warisan menang tanpa bertanding?

Bukankah jika tiada mana-mana parti yang bertanding, kalau ada pun mungkin hanya calon Bebas yang terpencil akan meletakkan calon, PRK Batu Sapi tetap boleh diteruskan dengan cuma risiko kecil kepada penyebaran Covid19 akan berlaku?

Apakah kerana majoriti hanya satu undi yang dimiliki PN di Parlimen sekarang membuatkan Muhyiddin begitu ghairah mahu merampas Batu Sapi dalam PRK yang bakal diadakan selepas Covid19 mereda nanti?

Jika begitu, di mana sebenarnya hati budi dan keprihatinan Muhyiddin sebagai ketua kerajaan yang dalam kata-katanya selalu mengatakan beliau adalah seorang pemimpin yang mengutamakan rakyat dan tidak suka berpolitik di musim Covid19?

Hipokritnya – dalam bermulut manis konon tidak suka berpolitik, diselit pula dengan doa yang diulang-ulang, rupa-rupanya setiap nafas Muhyiddin adalah nafas politik belaka.

Sama seperti darurat asal yang ditolak Agong di mana kepercayaan rakyat ia adalah bermotif politik, darurat di Batu Sapi ini juga tidak terlepas daripada niat dan kepentingannya untuk politik.

Namun, sementara menunggu PRK Batu Sapi diadakan kemudian, tiba-ada Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman pula meninggal dunia yang menjadikan undian lagi berkurang dan BNBBC yang diterajui Najib Razak tetap dengan tuntutan kebenaran pengeluaran wang KWSP dan moratorium wajib enam bulan lagi sebagai syarat untuk menyokong Belanjawan 2021, darurat di Batu Sapi ini sepertinya tidak memberi banyak makna pun kepada Muhyiddin.

Belanjawan 2021 lebih mungkin ditolak dan Muhyiddin bakal dijatuhkan sebelum sempat PRK Batu Sapi diadakan.


(Shahbudindotcom 19/11/2020)