Pinda Belanjawan 2021 kalau tak mahu tumbang, Hassan Karim nasihat kerajaan


KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan membuat beberapa pindaan kepada Belanjawan 2021 jika mahu ia disokong sebulat suara.

Kerana jika tidak, majoriti wakil rakyat akan menolaknya, kata Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sambil menyenaraikan beberapa perkara yang perlu perhatian seperti peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan geran sekali beri RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Saya berharap kepada menteri kewangan, jika sayang kerajaan Perikatan Nasional (PN), buat pindaan apa yang kami cadang…jika tidak kerajaan ini pada 26 Nov akan tumbang,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021.

Katanya, peruntukan bagi Jasa dan PeKT itu perlu ditarik dan diberi kepada sektor yang lebih memerlukan.