Datuk Seri Anwar Ibrahim
menggesa kerajaan supaya menyalurkan segala kekuatan dan bantuan kepada Sabah
yang dilihat amat terkesan dengan kadar penularan wabak Covid-19 yang mendadak
dalam tempoh tiga minggu lalu.
Presiden KEADILAN menganggap
perkara itu amat membimbangkan kerana sebanyak 54% kes Covid-19 di Malaysia
yang dikesan meliputi kes dari Sabah sejak 1 Oktober lalu.
Malah, kematian juga melibatkan
dalam kalangan pesakit muda yang tidak berpenyakit.
Justeru, Anwar menuntut
kerajaan persekutuan supaya mengerahkan lebih banyak pasukan perubatan, sekali
gus dapat memperkuatkan sistem kesihatan di Negeri Di Bawah Bayu itu.
"Sistem kesihatan di Sabah
yang kita telah sedia maklum kekurangan dana, staf dan sumber daya kini ditimpa
dan dibanjiri dampak dari wabak Covid-19. KKM telah mengalihkan segala sumber
yang ada ke Sabah, dan usaha ini tidak harus dibebankan pada kementerian
sahaja.
"Rencana ini memerlukan
dukungan politik dan kepimpinan yang jelas, penglibatan NADMA dan beberapa
kementerian lain bagi menggerakkan pasukan-pasukan perubatan dan kelengkapan
perubatan yang diperlukan, mempertingkatkan aspek logistik bagi meluaskan lagi
bantuan di Sabah.
Anwar juga mencadangkan kepada
kerajaan supaya membuat pengesanan secara besar-besaran di Sabah bagi
mengelakkan lebih ramai yang dijangkiti dengan wabak Covid-19.
"Para pakar juga telah
meramalkan bahawa kita akan menyaksikan kadar jangkitan yang akan terus
meningkat di Sabah tatkala virus tersebut terus merebak di kalangan warga.
"Mereka juga telah
mengesyorkan bahawa pengujian secara besar-besaran (massive testing) sebagai
langkah yang ampuh dalam mengesan dan memisahkan mereka yang telah dijangkiti
sebelum ia terus merebak.
"Setelah 8 bulan kita
mendepani wabak ini, saya fikir kita sepatutnya telah mampu dan punya keupayaan
untuk menjalankan pengujian besar-besaran. Kementerian Kesihatan mesti
mendedahkan kepada umum sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak
ini di Sabah, apakah secara ianya secara pengujian atau langkah dan strategi
yang lain," katanya.
Pada masa sama, Anwar berharap
kerajaan dapat menyediakan bantuan kewangan dan makanan segera, malah menggesa
kerajaan supaya melanjutkan moratorium di seluruh negara.
"Memandangkan hampir
seluruh Sabah kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya
menggesa kerajaan untuk memikirkan bantuan kecemasan berupa kewangan dan
makanan kepada rakyat yang terkesan, dan ini sangat penting dalam memastikan
warga yang terpinggir dapat meneruskan hidup.
"Saya mengulangi gesaan
saya sebelum ini pada kerajaan agar melanjutkan moratorium pinjaman ke seluruh
negara sebagai langkah segera kepada rakyat dan PKS di seluruh negara,"
katanya.
Anwar turut meminta KKM supaya
mendedahkan segala data mengenai Covid-19 bagi memudahkan pakar-pakar kesihatan
menganalisa dan mencari penyelesaian.
"Adalah sangat penting
bahawa segala data mengenai kes, pengujian dan kadar kematian dibagikan secara
terbuka dengan pakar-pakar dan pegawai-pegawai kesihatan yang bekerjasama
dengan pemerintah dalam mengekang wabak ini.
"Kekurangan maklumat akan
menghalang pakar-pakar perubatan di seluruh negara dari memberikan bantuan dan
kepakaran yang mereka ada. Dasar dan kebijakan maklumat yang terbuka akan
meningkatkan kepercayaan rakyat pada kerajaan, terutamanya dalam suasana
pandemik saat ini," katanya.