Semoga ‘roh’ GST bersemadi dengan tenang

 

Pada 15  Oktober 2020

oleh Liew Chin Tong

Oleh Liew Chin Tong





(Ahli Dewan Negara, Pengarah Pendidikan Politik DAP dan Pengerusi DAP Johor)

Cakap-cakap tentang kembalinya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menjana pendapatan Kerajaan kembali kedengaran di celah-celah koridor kuasa. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya menyemadikan ‘arwah’ GST ini dengan menafikan bahawa pentadbirannya pernah mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai terbabit.

Mana-mana kerajaan dengan akal sihat di Malaysia tidak akan mempersiakan sebarang modal politik terhadap sebuah persoalan yang telah dijawab dan diputuskan dengan jelas melalui peti undi. Salah satu topik penting sepanjang jalan menuju Pilihan Raya Umum ke-14 adalah soal GST.

Mana-mana kerajaan yang masih merasakan GST sebagai penjana pendapatan tidak belajar daripada sejarah dan tidak mempunyai kefahaman tentang faktor-faktor ekonomi yang menewaskan Barisan Nasional pada tahun 2018.

GST diumumkan di Parlimen pada Oktober 2013, selepas PRU ke-13 pada bulan Mei 2013, ketika Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Belanjawan 2014. Pelaksanaan GST dijadual bermula pada 1 April 2015.

Para penyokong GST berhujah bahawa asas cukai Malaysia adalah terlalu kecil dan terlalu sedikit pula warganya – sekitar 16.5% – yang perlu membayar cukai pendapatan. Oleh yang demikian, dengan melaksanakan GST, mereka berharap untuk memperluaskan asas cukai itu, kerana semua orang perlu membayarnya setiap kali mereka membeli barang atau menggunakan perkhidmatan.

Sejak 2013, saya telah berhujah bahawa GST adalah cara yang salah untuk menangani masalah asas cukai yang kecil. Kenapa begitu sedikit rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan? Tentunya, ada antara mereka yang lari daripada membayar cukai. Namun, pihak berkuasa mempunyai perkakasan yang mencukupi untuk menangani hal tersebut.

Jadi kenapa begitu sedikit rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan? Jawapannya mudah sahaja: mereka terlalu miskin untuk membayar cukai. Pendapatan mereka tidak melayakkan mereka untuk membayar cukai.

Penyiasatan pendapatan isi-rumah Jabatan Statistik Malaysia yang terbaru menunjukkan bahawa; dengan mengambil kira potongan sedia ada, isi-rumah (bukan individu) dalam kumpulan B40 mempunyai pendapatan di bawah jumlah yang mewajibkan mereka membayar cukai.

Bagi memperkukuh hal ini, kita hanya perlu kembali kepada rasional dan pemikiran di sebalik pengenalan BR1M pada tahun 2012. Setelah Pakatan Rakyat ketika itu memberi tekanan politik, Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajukan idea tampalan untuk memberi 60% isi-rumah sedikit bantuan tunai sekali setahun.

BR1M adalah pengiktirafan bahawa 60% isi-rumah Malaysia tidak mempunyai pendapatan yang memuaskan.

BR1M adalah pengiktirafan bahawa 60% isi-rumah Malaysia tidak mempunyai pendapatan yang memuaskan.

Apabila digandingkan – hanya 16.5% rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan dan 60% isi-rumah dianggap miskin – adalah jelas bahawa GST, yang mencukai penggunaan pada kadar rata, adalah langkah yang salah untuk menangani masalah yang salah.

Pengenalan GST adalah seperti kerajaan membayar BR1M/BSH dengan tangan kanan kepada 60% isi-rumah berpendapatan rendah, dan kemudian menggunakan tangan kiri untuk mengutip kembali lebih banyak lagi, berkadaran dengan pendapatan kumpulan ini.

Pakar ekonomi Malaysia sepatutnya sudah memahami bahawa GST adalah cukai regresif. Keluarga-keluarga miskin dan berpendapatan rendah-sederhana membayar lebih banyak cukai GST berkadar dengan pendapatan mereka berbanding golongan yang lebih kaya.

GST dan cukai-cukai penggunaaan lain secara amnya telah terbukti mengakibatkan kejatuhan serius dalam konsumsi selepas ia diperkenalkan, paling tidak buat sementara waktu. Di bahawa pentadbiran mantan Perdana Menteri Shinzo Abe, Jepun menaikkan cukai penggunaannya sebanyak dua kali. Setiap kali ia dinaikkan, wujud kejatuhan teruk dalam penggunaan dan justeru peningkatan cukai penggunaan itu mengancam pertumbuhan yang sudah sedia rapuh.

GST menjadi jalan singkat politik terhadap ketiadaan empati Najib di mata pengundi disebabkan beberapa faktor ekonomi: pertama, harga minyak dan komoditi yang menjunam sejak Oktober 2014 sehingga 2016; Najib mengikut beberapa idea neo-liberal yang tidak bernas untuk memotong peruntukan belanjawaan pada 2015 dan 2016 ketika ekonomi menerima impak hebat akibat kejatuhan harga minyak, memburukkan lagi kemarahan dan penderitaan orang ramai; dan GST diperkenalkan pada April 2015. Demikian kombinasi faktor ekonomi yang membantu kekalahan Najib pada 2018. Ringkasnya, GST adalah cukai yang membunuh angsa emas penggunaan.

Apa yang patut dilakukan kerajaan? Kerajaan patut mencuba untuk menstruktur semula model ekonomi supaya dalam tempoh sepuluh tahun, sekurang-kurangnya 60% isi-rumah Malaysia akan memperoleh pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan mereka membayar cukai pendapatan.

Ini bermakna bahawa kita mesti mencipta pekerjaan dengan bayaran gaji yang lebih baik. Ini juga bermakna kita perlu mencipta sektor yang mencipta pekerjaan dengan gaji yang lebih baik. Ini bererti kita perlu mengurangkan bahagian buruh tidak terlatih dan bergerak ke arah automasi dan peningkatan tekonologi supaya dengan kadar buruh rendah tetapi lebih berkemahiran, setiap pekerja dibayar lebih tinggi.

Ini adalah soal mencipta masyarakat kelas pertengahan dengan pekerjaan dan gaji yang selayaknya.

Dari sudut pandang pendapatan kerajaan, pertamanya tahun 2020 ialah tahun yang salah untuk mana-mana kerajaan menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan. Dunia sedang mendepani krisis kesihatan, politik dan ekonomi yang belum pernah disaksikan sejak kemelut Great Depression dan Perang Dunia Kedua.

Dan pada tahap ini, kadar faedah serta kos meminjam adalah rendah.

Apa yang patut dilakukan kerajaan sekarang ialah merentas lantai Parlimen dan mendapatkan konsensus dwi-partisan bagi pelaburan jangka panjang seperti infrastuktur hijau yang akan menghasilkan peluang pekerjaan, dengan jaminan tiada unsur rasuah atau ketirisan. Kerajaan kemudian boleh menaikkan defisit dengan konsensus dwi-partisan untuk meminjam bagi pelaburan-pelaburan tersebut ke arah masa depan negara yang akan mencipta pekerjaan segera bagi menangani krisis pekerjaan.

Bagi jangka masa panjang, terdapat begitu banyak alternatif kepada GST dan cukai penggunaan secara amnya. Contohnya dengan mewujudkan kadar cukai baharu yang lebih tinggi untuk golongan berpendapatan 1-2% tertinggi, supaya mereka berapa pada takat kadar marjin yang lebih tinggi berbanding profesional kelas pertengahan. Hari ini, kadar marjinal ke atas pendapatan melebihi RM100,000 setahun ialah 21%, manakala untuk pendapatan melebihi RM1,000,000 setahun pula ialah 28%. Untuk perbandingan, untuk pendapatan melebihi RM50,000 setahun, kadarnya ialah 8%. Ini menunjukkan bahawa kelas pertengahan memikul beban cukai yang tidak seimbang.

Wujud juga ramai pelabur asing di Malaysia yang menikmati pengecualian cukai bertahun-tahun lamanya, yang selalunya merugikan industri tempatan bersaiz kecil dan sederhana. Ada antaranya yang tidak lagi berhak diberi pengecualian cukai kerana tidak lagi merupakan perintis. Menteri Kewangan boleh memberitahu syarikat-syarikat asing ini bahawa untuk terus menikmati pengecualian cukai, mereka perlu mengadakan perjanjian baharu: syarikat-syarikat ini perlu melabur secara serius untuk peningkatan teknologi dan produktiviti, bagi mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, dan membayar gaji yang lebih baik. Jika tidak, pengecualian cukai mereka akan diakhiri secara beransur-ansur.

Pada akhirnya, jika syarikat-syarikat mengaut keuntungan dan rakyat Malaysia bekerja dengan cemerlang, apabila kita mempunyai 60% kelas pertengahan yang layak membayar cukai pendapatan, akan wujud satu kitaran yang baik untuk seluruh rakyat Malaysia.

Saya benar-benar berharap supaya ‘roh’ GST ini boleh bersemadi dengan tenang dan pemikir ekonomi Malaysia akan dapat menyedari kedangkalan yang dikaitkan dengan GST sepanjang dekad lalu. Sudah terlalu banyak masa dibuang sia-sia hanya kerana mereka yang berkuasa dan ramai ahli ekonomi gagal memahami bahawa cabaran asas yang dihadapi negara ini ialah kitaran gaji rendah, kemahiran rendah, kurangnya penggunaan teknologi dan rendahnya produktiviti.