PKPB menggugat ekonomi, lebih banyak perniagaan bermasalah
Tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Selangor dan Wilayah Persekutuan mula menampakkan kesan ekonomi.
Sektor industri mula mengeluh mengenai kekurangan pendapatan yang bakal dihadapi ketika ekonomi tidak pulih.
Menurut seorang pemilik kilang, Albert Lam, PKPB yang dilaksanakan tanpa tempoh persediaan secukupnya memang amat mencabar.
“Pengumuman yang tiba-tiba adalah tidak baik untuk golongan usahawan dan pemilik kilang. Kita perlu menyediakan wang untuk membayar gaji dan bil-bil utiliti selain dari invois-invois pembekal.
“Kami amat kecewa bahawa sekali lagi pengumuman dibuat dengan cara ‘minit-minit terakhir’. Sepatutnya pengumuman dibuat pada 7 Oktober 2020 untuk membolehkan kami membuat persediaan. Sekarang semuanya kelam-kabut,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Albert memberitahu bahawa para pemilik kilang-kilang yang berhampiran di kawasan industri Kepong, Kuala Lumpur semuanya merasa kecewa dengan tindakan kerajaan yang melaksanakan PKPB yang nampaknya tanpa perancangan yang terlebih awal.
“Kami tahu PKPB perlu dilaksanakan kerana penularan wabak Covid-19 sudah berada pada paras kritikal tetapi kerajaan sewajarnya membuat pengumuman satu minggu lalu supaya kami boleh membuat persediaan dan perancangan yang sempurna,” katanya lagi.
Bagi pemilik restoran, Angie Lim, pula berkata kerajaan sewajarnya membuat pengumuman 10 hari lebih awal bukannya hanya 3 hari
“Pengumuman minit-minit terakhir sekali lagi adalah amat, amat mengecewakan. Kerajaan begini seolah-olah langsung tidak membuat perancangan yang rapi dan teliti. Mengapa tidak membuat pengumuman sekurang-kurangnya 10 hari lebih awal?. Kami sudah membeli banyak barang makanan dan sekarang terpaksa menjual secara bungkus atau take-away sahaja. Banyak makanan akan dibazirkan. Kami akan mengalami kerugian teruk dalam dua minggu ini,” katanya.
Kedua-dua Albert dan Angie berharap Anwar Ibrahim akan dilantik menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi jika beliau mempunyai cukup sokongan dari Ahli-ahli Parlimen.
“Saya menjangka Anwar akan mengurus-tadbir dengan lebih baik dan bukan secara tunggang-langgang seperti sekarang ini. Dasar ekonomi pun tidak jelas,” kata mereka lagi.