MENYOKONG ANWAR UNTUK JATUHKAN MUHYIDDIN CARA TERBAIK UNTUK ELAK UMNO TERUS DIBULI BERSATU


Perkara paling pedih sehingga merobek ke hulu hati UMNO sekarang ini ialah apabila parti itu dibuli oleh Bersatu dalam PRN Sabah yang baru lalu.

Rasa pedih hati itu sebenarnya lebih perit daripada perasaan yang ditanggung ketika UMNO hilang kuasa dan kalah pada PRU14 lalu.

Sementara UMNO dan BN ditewaskan pada PRU 2018 itu secara berdepan oleh lawan yang nyata iaitu PH yang turut didalamnya ada Bersatu, sebaliknya UMNO sekarang ini dibuli oleh Bersatu, sedangkan kedua-duanya bukan saja rapat dan bersama dalam kerajaan, malah dalam keadaan nyawa masa depan Bersatu juga banyak bergantung kepada ihsan UMNO.

Dalam PRN Sabah, Bersatu hanya bernyawa kerana UMNO sedia memberi laluan kepada parti itu bertanding di kerusi-kerusi yang sebenarnya dimenangi oleh UMNO dalam PRU14, tetapi Adunnya kemudian melompat khianat untuk menyertai Bersatu.

Jika UMNO enggan beralah dan berkeras mahu bertanding di semua kerusi tersebut, keputusan PRN Sabah mungkin berbeza dan tidak mustahil hari ini Bung Mokhtar sudah pun duduk di kerusi Ketua Menteri.

Sudahlah UMNO bermurah hati memberi laluan kepada Bersatu bertanding di kerusi yang dimenangi parti itu dalam PRU sebelum ini, malah selepas itu Muhyiddin Yassin telah secara terbuka tanpa berunding dengan Zahid Hamidi mengumumkan Hajiji Noor, Pengerusi Bersatu Sabah sebagai calon Ketua Menteri.

Walhal bukan Muhyiddin tidak tahu bahawa UMNO telah lama mahu menjadikan Bung Mokhtar Radin, Pengerusi BN Sabahnsebagai calon Ketua Menteri mereka.

Gambaran pembulian yang berlaku PRN Sabah itu pasti akan berulang lagi di peringkat persekutuan dalam PRU15 akan datang jika UMNO turut lembut hati dan sedia menyerahkan kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Geng Hamzah Zainuddin untuk ditandingi oleh Bersatu.

Malah, sekarang ini Bersatu juga telah berjaya merosakkan hubungan UMNO dengan Pas sehingg parti Islam itu tidak lagi seakrab dulu hubungannya dengan UMNO.

Kalau diberi lebih masa, tidak mustahil Pas akan melepaskan terus pelukannya terhadap UMNO untuk beralih pula kepada Bersatu.

Apa pilihan yang ada kepada UMNO sekarang ini?

Walaupun UMNO bertegas tidak mahu menyertai PN secara rasmi, tetapi untuk mereka mengambil keputusan keluar daripada kerajaan bukanlah perkara mudah untuk dilakukan.

Ini terutamanya kerana ada Ahli Parlimen UMNO yang diberikan jawatan dalam kerajaan oleh Muhyiddin sedang berasa kesedapan dan tidak mahu nikmat itu dilepaskan begitu saja.

Bagi mereka, biarlah UMNO duduk dalam kerajaan ini sehingga tahun 2023 atau sampai masa bila PRU15 diadakan, dengan itu dapatlah juga lebih lama mereka merembat daki-daki dunia melalui jawatan yang sedang disandang.

Tetapi, yang mereka barangkali tidak sedar ialah semakin lama UMNO berada bersama dalam kerajaan ini, ia lebih memberi peluang kepada Bersatu mengukuhkan kedudukannya untuk terus merancang pembulian, sambil dalam waktu yang sama berupaya merenggangkan lagi hubungan Pas dengan UMNO.

Dengan itu, tidak mustahil sejarah buli ketika PRN Sabah akan berulang lagi dan hasrat UMNO untuk meletakkan calonnya sendiri sebagai Perdana Menteri hanya tinggal mimpi saja akhirnya.

Untuk UMNO kembali dominan, kembali seperti UMNO yang dahulu dan berpeluang semula menduduki jawatan Perdana Menteri, parti itu tiada pilihan lain melainkan mesti keluar meninggalkan Bersatu.

Hanya dengan meninggalkan Bersatu saja, UMNO mampu bertanding di semua kerusi Melayu miliknya tanpa perlu pening dan serabut kepala lagi.

Realitinya, dengan UMNO bersama BN yang sudah ada MCA, MIC dan PBRS di dalamnya, bermuafakat pula dengan Pas, ia sudah pun memadai untuk gabungan itu kembali berkuasa.

Sedangkan dengan Pas pun belum dimuktamadkan lagi soal pembahagian kerusi, melibatkan pula Bersatu untuk berkongsi tiga sudah tentu menambahkan lagi pening kepala UMNO.

Dalam hal ini, oleh kerana 13 Oktober depan merupakan tarikh penting di mana Anwar Ibrahim akan mengadap Yang Dipertuan Agong bagi mempersembahkan jumlah sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang dimilikinya untuk membentuk sebuah kerajaan baru, UMNO tidak harus berlengah lagi mengambil peluang yang sedang terbuka ini.

Hanya dengan menyokong Anwar dan menjatuhkan Muhyiddin saja akan membolehkan UMNO bebas lepas daripada belenggu pembulian Bersatu terus berlaku lagi.

Sama ada dengan menyokong usaha Anwar itu akan menjadikan Presiden PKR sebagai Perdana Menteri atau PRU semula terpaksa diadakan, kedua-dua keadaan itu akan menguntungkan UMNO kerana melepaskannya daripada terus terikat dengan Bersatu.

Tanpa terikat lagi dengan Bersatu, bermakna UMNO tidak perlu berkongsi kerusi dengan parti pimpinan Muhyiddin yang kedudukannya tidak lagi disukai oleh rakyat Malaysia ketika ini.(Shahbudindotcom 11/10/2020)