Amalan cash is king yang
dipopularkan Perdana Menteri (PM) ke 6 Najib Razak nampaknya mahu dihidupkan
kembali oleh PM Muhyiddin Yassin.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN
Fahmi Fadzil, ucapan Muhyiddin dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah
kelmarin amat mengejutkan dengan pembayangan bantuan dari Kerajaan Persekutuan
akan mencurah masuk sekiranya Perikatan Nasional menang pada 26 September ini.
"Saya cukup terkejut membaca
kenyataan PM lebih banyak bantuan akan disalurkan sekiranya pengundi Sabah
memilih parti Kerajaan Persekutuan pada PRN Sabah nanti. Kenyataan tersebut
mewujudkan persepsi pengundi Sabah hanya akan terima lebih banyak bantuan jika
mereka memilih parti Kerajaan Persekutuan.
"Dengan kata lain, kenyataan ini
berniat mempengaruhi pengundi dengan tawaran: “Undi parti Kerajaan Persekutuan,
bantuan lebih banyak. Undi yang lain, bantu cukup syarat sahaja.”
"Ini adalah amalan “cash is
king”, yang dahulunya ditegur dan dilawan PM sendiri. Malangnya, kenyataan
beliau ini mirip apa yang beliau sendiri tegur dan lawan dahulu. Apa sudah
jadi?" soal Fahmi dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu
menyelar Muhyiddin dan mengingatkan PM seharusnya tidak menggunakan isu bantuan
untuk meraih undi.
Muhyiddin harus menjadi PM untuk
semua negeri dan semua rakyat Malaysia, bukan sahaja PM untuk negeri-negeri
yang ditadbir parti Kerajaan Persekutuan atau mereka yang mengundi parti
Kerajaan Persekutuan.
"Jika beliau enggan bantu
negeri-negeri pada kadar dan keperluan yang sepatutnya, saya rasa wajar beliau
berundur dari menjadi PM.
"Rakyat Sabah berhak memilih
mana-mana parti yang mereka ingini, dan Kerajaan Persekutuan tiada hak untuk
menafikan keputusan rakyat.
"Saya percaya rakyat Sabah cukup
matang dalam menilai yang mana kaca, yang mana permata," katanya lagi.
Untuk rekod, Muhyiddin dalam kempen
Pilihan Raya Umum ke 14 sering menyerang amalam cash is king Najib
yang pernah memecatnya dari Umno beberapa tahun sebelum itu ketika isu
1Malaysia Development sedang memuncak.