KEADILAN Sabah mendedahkan
bahawa parti itu tidak pernah meminta sehingga 25 kerusi untuk bertanding di
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi Majlis Pimpinan
Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Christina Liew mengakui parti mahu bertanding
lebih daripada lapan kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14), namun tidaklah sehingga 25 kerusi.
"Ada laporan yang
mengatakan kami tidak berpuas hati sebab mahu 25 kerusi, jumlah itu melampau
sangat.
"Bukan 25 kerusi, cuma
lebih dari PRU-14. Kita masih berunding, namun apa yang penting adalah kita
mesti bekerjasama dan memastikan tidak kira berapa banyak kerusi yang
dipertandingkan nanti, kita mesti menang.
"Memenangi semua kerusi
dan mengeratkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) Sabah, Warisan, Upko
adalah amat penting kepada kita," katanya ketika sesi ramah bersama media.
KEADILAN dijangka
mempertahankan kerusi Api-Api yang disandang oleh Christina dan merampas semula
kerusi Inanam selepas ADUN kawasan itu, Kenny Chua mengalihkan sokongannya
kepada Musa Aman.
Dalam pada itu, Christina turut
mendedahkan bahawa KEADILAN akan mengetengahkan muka baharu dalam PRN Sabah.
"Kali ini, kita ada muka
baharu. Sama ada calon muda, pertengahan umur ataupun yang tua, itu tidak
penting. Asalkan mereka bersemangat mahu berkhidmat untuk rakyat dan setia
kepada parti serta boleh mempunyai keupayaan untuk menang," katanya.
Penamaan calon bagi PRN Sabah
akan berlangsung pada 12 September, dengan hari mengundi awal pada 22 September
manakala hari mengundi jatuh pada 26 September.