Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
ingin meletakkan calon di 14 kerusi DUN Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)
pada 26 September ini.
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan
Negeri KEADILAN Sabah, Simsudin Sidek berkata, walaupun parti pernah bertanding
jumlah kerusi lebih besar, atas semangat setiakawan dengan rakan seperjuangan
khususnya WARISAN, KEADILAN hanya bertanding 6 kerusi Parlimen dan 8 DUN pada
2018.
Sehubungan itu, jumlah 14 kerusi
adalah munasabah ketika jumlah kerusi mengalami pertambahan berbanding Pilihan
Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.
"Atas sebab itu, parti kali ini
ingin meletakkan 14 orang calon DUN, satu peningkatan yang munasabah
memandangkan bilangan kerusi DUN juga meningkat dari 60 sebelum ini kepada 73
untuk PRN Sabah 2020.
"Kali ini, KEADILAN melakukan
tapisan rapi untuk memastikan calon-calon yang berwibawa, termasuk muka-muka
baharu anak muda dan wanita.
"Ini komitmen KEADILAN untuk
mengembalikan mandat rakyat kepada Kerajaan Negeri yang diterajui WARISAN,
Pakatan Harapan dan UPKO pimpinan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dalam PRN
2020," kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Simsudin lagi, kehadiran
KEADILAN di Sabah bukan perkara baharu. Katanya, pada pilihan raya sulung yang
disertai parti pada 1999, KEADILAN bertanding 3 kerusi Parlimen di negeri itu.
Pada PRU 2013, KEADILAN menang 1
kerusi Parlimen dan 7 kerusi DUN. Dalam PRU 2018, KEADILAN menang 3 kerusi
Parlimen dan 2 kerusi DUN.
Dengan jumlah keahlian parti yang
telah melepasi 100,000 dan mempunyai jentera pilihan raya yang mantap KEADILAN
dijangka mampu menggalas cabaran yang lebih besar.
"KEADILAN mempunyai keahlian
mencecah lebih 170,000 orang, menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi dari segi
keanggotaan parti selepas Selangor.
"Sebagai sebuah parti pelbagai
kaum yang telah lama menyertai pilihan raya, KEADILAN kali ini berhasrat
menampilkan calon Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina. KEADILAN
juga ingin mempunyai calon di segenap pelusuk Sabah," katanya lagi.
Dua rundingan terakhir
KEADILAN-WARISAN sebelum ini melibatkan Shafie Apdal dan pimpinan tertinggi
KEADILAN mendapat reaksi yang baik daripada pimpinan kedua-dua belah parti.
Kerusi-kerusi yang akan ditandingi
KEADILAN adalah seperti berikut:
1. N. 20 Api-Api
2. N. 18 Inanam
3. N. 09 Tempasuk
4. N. 14 Tamparuli
5. N. 05 Matunggong
6. N. 32 Klias
7. N. 45 Sook
8. N. 43 Kemabong
9. N. 61 Segama
10. N. 27 Limbahau
11. N. 51 Sg Manila
12. N. 31 Membakut
13. N. 08 Pintasan
14. N. 23 Petagas