Istilah 'Melayu terancam' timbul
selepas kekalahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14
lalu.
Retorik ancaman terhadap Melayu itu
kemudiannya dipopularkan oleh pembangkang, Umno dan Pas yang bergabung dalam
Muafakat Nasional (MN).
Namun bagi ADUN Taman Medan, Ustaz
Syamsul Firdaus, ancaman terhadap Melayu sebagaimana didakwa MN sebenarnya
tidak jelas. Buktinya, selepas Umno dan Pas menubuhkan kerajaan pun tidak
kelihatan apakah pembelaan yang mereka lakukan khusus buat orang Melayu-Islam.
"(Mereka) menggunakan retorik
Melayu terancam. Tetapi bila mereka dapat kekuasaan, mereka tidak dapat
menyelesaikan (isu-isu Melayu-Islam) dengan baik. Malah kita lihat jelik,
umpamanya mahu mengekalkan sokongan ahli Dewan Rakyat (parti Melayu-Islam)
diberikan jawatan pengerusi GLC.
"Nak bela Melayu macam mana?
Islam bukan semakin terbela (dengan sogokan jawatan).
"Dulu (Umno-Pas) mahu perkasakan
RUU 355, bila berkuasa mereka kata terlalu sukar pula. Bila mereka sebut macam
itu seolah-olah (perkasakan Melayu-Islam) tidak ada kesungguhan," katanya
dalam sesi forum Gabungan Reformis Malaysia bertajuk 'Menangani isu semasa
Selangor' baru-baru ini.
Menurut Syamsul lagi, pembelaan yang
dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) ke atas semua kaum, sebaliknya telah
dilaksanakan dengan cemerlang sejak era Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor dan
Pulau Pinang.
Malangnya, kata Syamsul, apabila Umno
menjadi pembangkang dasar membela semua kaum itu dipropagandakan seolah-olah
ancaman kepada Melayu.
"Kita kena lihat banyak polisi
yang dibuat oleh PH (sebelum ini) tak membezakan anutan agama dan bangsa.
Tetapi ini dipesongkan sebagai Melayu terancam.
"Padahal yang memerima manfaat
terbanyak orang Melayu muslim. Dari segi dasar-dasar yang dibuat itu cukup jelas.
Bukan seperti Perikatan Nasional (PN), orang-orang yang tidak ada matlamat
membela rakyat walaupun atas nama Melayu.
"Umpamanya kerajaan pun dibentuk
atas gabungan Ahli Parlimen, bukannya di antara parti-parti yang mengikat
mereka. Sebab itu kita tengok ada kelompok MN. Kemudian ada PN, jadi mana satu
yang jelas. Ini sesuatu yang rapuh," katanya.
Ustaz Syamsul menegaskan dasar
perkauman yang diperjuangkan oleh Umno, Pas dan PN hari ini merupakan masalah
terbesar kepada negara.
Katanya, pembelaan ke atas agama
Islam bukan terhad kepada sesebuah kerajaan diperintah oleh orang Islam tetapi
sebanyak manakah umat Islam mendapat manfaat dari dasar pemerintahan tersebut.
"Soal martabatkan agama Islam
ini tanggungjawab kerajaan. Sebab itu di Pulau Pinang walaupun didominasi parti
bukan Islam tetapi kesungguhan memartabatkan Islam lebih terserlah daripada
mereka yang melaung-laungkan Islam.
"Bagi saya Islam bukan sekadar menegakkan hukum tetapi
kesejahteraan rakyat perlu lebih diutamakan," katanya lagi.