Perjuangan Reformasi selama 22 tahun akan mendapat impak yang
lebih hebat selepas ini di bawah Gabungan Reformis Malaysia (GRM), yang
menghimpunkan 10 pertubuhan memperjuangkan pembaharuan total di tanah air.
Bagi Presiden Aktivis Rakyat Malaysia (ARM), Khairul Anuar
Othman, penubuhan GRM akan melipatgandakan gerak kerja perjuangan Reformasi,
termasuk pembelaan kebajikan ke atas para pejuang.
"Saya berterima kasih dengan GRM kerana menggabungkan semua
reformis dalam satu gabungan. Bagi ARM kita telah mengumpulkan aktivis di
seluruh negara, ahli korporat serta pimpinan parti, terutama dari Pakatan
Harapan (PH) untuk kita satukan dalam tindakan berikutnya.
"Kita akan gerakkan dari negeri ke negeri. Reformis berada
di seluruh Malaysia. Mereka akan memberi impak yang cukup besar. Hubungan
antara mereka itu akan kita satukan. Tiada lagi kabilah atau puak.
"Gabungan ini ada pelan tindakan dan reformis akan dapat
dibela nasib serta kebajikan mereka," katanya dalam forum anjuran GRM
baru-baru ini.
Menurut Khairul, sebagai pengasas NGO ARM, beliau mempunyai
pengalaman melihat pejuang-pejuang Reformasi ditindas, dibuang kerja dan tidak
mempunyai pekerjaan tetap akibat memperjuangkan pembaharuan.
ARM katanya, bertindak membela kebajikan mereka, mengumpulkan
para pejuang dan merancang strategi bergerak dalam apa jua keadaan termasuk
ketika pandemik Covid 19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru
ini.
"Saya bermula bersama reformis ini ketika mereka susah.
Saya berkunjung dari rumah ke rumah. Dalam perjuangan ada yang dibuang,
diberhentikan kerja, ada yang tidak bekerja. Tetapi bagi kami di ARM, ada
peranan dan tanggungjawab terutama membantu mereka, termasuk dalam situasi
Covid 19 baru-baru ini," katanya lagi.
Sebagai orang lama dalam Reformasi, Khairul berharap ikon
reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai Perdana Menteri ke 9
dan mentadbir Malaysia dengan penuh kesaksamaan sebagaimana diperjuangkan
beliau sejak dua dekad lalu.
Katanya, hanya setelah Anwar diangkat sebagai PM barulah
reformis akan berpuas hati dengan perjuangan dan jerih payah selama ini.
"Bagi rakyat yang cintakan kedamaian, sebuah negara maju,
makmur dan berkebajikan, saya mengatakan kemelut politik di bawah kerajaan
pengkhianat ini harus dikembalikan mandat itu semua kepada PH agar negara
kembali stabil.
"Saya percaya sekiranya Anwar diangkat sebagai PM,
inshaAllah negara kita lebih makmur maju dan sejahtera. Namun begitu kita
sebagai reformis mestilah bersatu hati untuk bekerjasama dan tidak berkhianat
antara satu sama lain.
"Kena ingat perjuangan 22 tahun itu tidak mudah, derita dan
air mata. Ada antara kami yang telah pergi buat selamanya, ada yang sakit dan
sebagainya. Saya percaya semangat ini ada dalam kalangan reformis dan aktivis
untuk memastikan kerajaan dan mandat rakyat dikembalikan," katanya.
Forum GRM boleh disaksikan melalui Facebook live di page Gabungan Reformis Malaysia atau page Mustapa Mansor.