Bagi Mantan Ahli Majlis Penasihat
Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB), Syed Badli Shah Syed Osman,
kenyataan keliru yang dikeluarkan oleh Annuar sejak kebelakangan ini
menjelaskan hal tersebut.
Katanya, sebelum ini Annuar berkata
lebih 60% pemilik tidak bersetuju sebagai dalih pembangunan tidak dapat
diteruskan.
Namun data terakhir PPKB sebelum
kerajaan bertukar tangan pada bulan Mac 2020, menurut Syed Badli, menunjukkan
pemilik berdaftar berjumlah 5359. Dari jumlah itu hanya 1571 yang menghantar
borang maklum balas kepada PPKB. Bermakna hanya sekitar 31% yang memberikan
jawapan.
"Dari jumlah itu seramai 1499
pemilik telah menyatakan persetujuan untuk membangunkan tanah mereka. Manakala
seramai 72 pemilik lagi tidak bersetuju.
"Seramai 2856 pemilik gagal
dikesan iaitu sekitar 53%, menjadikan jumlah seramai 3788 pemilik gagal
memberikan maklum balas.
"Apabila Annuar mengatakan
kononnya lebih 60% tidak bersetuju, timbul beberapa keraguan.
"Berapa ramaikah jumlah terkini
pemilik yang berjaya dikesan? Berapa ramai pula yang telah menghantar maklum
balas?" tanya Syed Badli dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, untuk membenarkan
jawapan Annuar kononnya 60% pemilik tidak bersetuju iaitu semestinya sekitar
3215 telah menyatakan penolakan terhadap pembangunan, maka jumlah yang memberi
maklum balas harus sekitar 4714 atau sebanyak 87%.
Benarkah 87% dari jumlah 5359 telah
memberikan maklum balas sedangkan data bulan Mac menunjukkan seramai 53% masih
gagal dikesan.
"Justeru itu saya menggesa
Annuar untuk mendedahkan data sebenar pemilik yang menghantar maklum balas bagi
mengelakkan sebarang keraguan.
"Saya yakin Annuar sebenarnya
telah gagal merancang sebarang pembangunan kawasan Kampung Baru," katanya
lagi.
Sebelum ini, Annuar ketika masih
pembangkang mengkritik pelan pembangunan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana
nilai tanah hanya 1,000 per kaki persegi. Katanya, jika diberi harga RM3,000
per kaki masalah akan selesai.
Namun hari ini Annuar didapati tidak berani untuk menawarkan
harga yang beliau cadangkan, sebaliknya berdalih tiada dana sebesar RM7 bilion
untuk membangunkan Kampung Baru.