Bersatu jadi gelanggang rebut jawatan?
MSO
Tersedar dari tidur petang tadi diganggu ucapan Muhyiddin Yassin yang merasmikan apa dinamakan Kongres Bersatu Negara. Terdengar dia puji Ismail Sabri Yaacob dan Azmin Ali.
Terdengar juga Muhyiddin menyebut partinya (Bersatu) sedia menerima apa-apa pandangan dan idea bagi mengukuhkan parti yang disambar daripada OT95 itu. Antara usahanya ialah Bersatu akan membuka satu “chapter” baru dalam perlembagaannya untuk menerima bukan Melayu menjadi ahli dan memegang jawatan. Bukan Melayu akan dibenarkan memegang jawatan.
Chapter baru itu akan diputuskan dalam mesyuarat khas Bersatu. Apabila bukan Melayu sudah mempunyai status sama dengan orang Melayu dalam Bersatu, maka parti itu tidak lagi dikenali sebagai parti pure Melayu, statusnya sama dengan parti-parti lain seperti PKR, Amanah, Umno dan juga Pas. Nampaknya tidak ada satu pun parti Melayu yang pure Melayu.
Terdengar juga tadi Muhyiddin menyebut seramai 200,000 ahli komuniti negara, kluster yang dibina Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin akan menyertai Bersatu. Mereka akan diterima menjadi ahli Bersatu secara automatik.
Penyertaan atau dengan wujudnya kluster baru dalam Bersatu itu, bersiap sedialah untuk Bersatu bagi menjadi gelanggang perebutan jawatan dalam tempoh tiga tahun nanti, sekiranya parti itu berusia panjang.
Saya tidak mahu tanya darimana angka 200,000 itu diperolehi dan diceritakan kepada Muhyiddin kerana itu adalah sudah jadi kebiasaan dan strategi orang politik bermain dengan angka. Mungkin Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail boleh menjelaskan. Trims.