Tengku Zulpuri pula ditawar melompat
Kononnya kerajaan Perikatan Nasional gagah perkasa namun di belakang tabur mereka masih giat menawarkan ahli-ahli parlimen pembangkang melompat menyertai mereka.
Terbaharu, Ahli Parlimen DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji mengaku beliau mendapat tawaran untuk menyertai PN namun berkata kesetiaannya tetap kepada PH.
Ahli parlimen Raub itu menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau telah menukar sokongannya.
“Tak betul. Semua itu politik kelakar… Insyallah saya akan bersama PH.
“Susah senang bersama PH, jawatan bukan segala-galanya,” kata pemimpin itu.
Tengku Zulpuri, 55, merupakan ahli parlimen penggal pertama setelah menang kerusi Raub pada PRU14 tahun 2018 di mana beliau mengalahkan Chew Mei Fun daripada Barisan Nasional dengan majoriti lebih 3,000 undi.
Sebelumnya, beliau adalah Adun DAP untuk Mentakab.
Ketika ditanya jika beliau telah dihubungi oleh mana-mana pihak yang berkuasa untuk menukar sokongan, Tengku Zulpuri memberikan penjelasannya.
Menurut beliau, tawaran itu datang daripada rakan-rakannya yang berada di dalam Umno dan Bersatu yang mahu beliau menyertai mereka.
Tengku Zulpuri berkata latar belakang parti politik berbeza tidak mengubah persahabatan mereka.
“Kita perlu ada prinsip,” katanya.
Desas-desus Tengku Zulpuri keluar PH untuk menyertai gabungan parti pemerintah Perikatan Nasional muncul di tengah persaingan sengit antara parti-parti politik.