Perlunya PH kembali menjadi kerajaan dalam waktu yang terdekat ini, asas paling pentingnya ialah untuk mengembalikan semula mandat yang telah diberikan rakyat.
Oleh kerana yang menang pada PRU14 lalu adalah PH melalui penggunaan simbol PKR, tetapi kemenangan itu kemudian dirampas melalui pengkhianatan dan tebuk atap, maka PH ada tangungjawab moral untuk merampasnya semula.
Tidak kira sama ada rampasan kuasa semula itu melalui tebuk atap atau ada Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong PN namun sedia mengkhianati gabungan itu, realitinya itulah balasan yang sepatutnya kepada orang yang lebih dulu melakukan pengkhianatan.
Tebuk atap akan dibalas dengan tebuk atap dan pengkhianatan akan dibalas dengan pengkhianatan juga.
Jika PH tidak dikhianati dan kerajaan sahnya tidak ditumbangkan melalui pengkhianatan, PH tentu sama sekali pernah terfikir untuk berbuat perkara yang sama.
Tetapi oleh kerana mereka yang menggelarkan diri sebagai PN ini yang memulakan pengkhianatan dan kemudian berbangga pula berjaya merampas kerajaan melalui tebuk atap, mereka wajar diajar agar menerima balasan betapa pedihnya bila dikhianati dan apabila atap kerajaan ditebuk untuk dicerobohi.
Apa yang sedang diusahakan oleh PH untuk merampas kembali kerajaan ini sama sekali tidak merupakan sesuatu yang salah.
Ia hanya untuk menuntut semula dan mengembalikan haknya yang diperolehi secara sah melalui mandat rakyat pada PRU14 lalu.
Ibarat seseorang yang ada kebun durian, tetapi suka menceroboh dan mencuri buah durian orang lain kerana ketamakannya, bukan saja buah durian di kebunnya akan berisiko dicuri di lain masa, bahkan tidak mustahil pokok duriannya pun akan kena tebang oleh mereka yang tahu kerja-kerja mencuri yang dilakukannya.
Prinsipnya, orang yang buat khianat, dia juga akan menerima balasan apabila tiba masanya dirinya pula akan dikhianati.
Dalam hal ini, bukan saja apa yang diusahakan PH ini harus disokong, terutama oleh majoriti rakyat yang mengundi PH pada PRU14 lalu, tetapi juga bagi mereka yang cintakan keamanan dan kestabilan.
Kestabilan dan keamanan dalam negara hanya akan tercapai apabila mereka yang menang pilihanraya diiberikan hak sebagai kerajaan sehingga akhir tempohnya, manakala yang kalah harus duduk di tepi dahulu sebagai pembangkang.
Seorang wanita yang sudah bersuami tidak boleh dirampas atau dibawa lari untuk dijadikan isteri oleh lelaki lain, sebaliknya perlu menunggu dia diceraikan dan tamat tempoh edahnya terlebih dahulu, barulah boleh untuk dijadikan suri hati dalam rumahtangga.
Makna kata, jika pembangkang mahu jadi kerajaan, tunggulah pilihanraya seterusnya untuk mencapai impian tersebut dan bukan merampas hak orang lain di tengah-tengah jalan.
Apabila berlaku rampasan hak orang lain, maka akan berlakulah huru-hara, perbalahan, ketidaktenteraman dan macam-macam lagi.
Dalam konteks ini, yang menang PRU14 lalu adalah PH dan kuasa harus dikembalikan semula kepada PH tanpa sebarang pertikaian sama sekali.
Oleh kerana dalam PH sekarang hanya ada tiga parti iaitu PKR, DAP dan Amanah, sementara Bersatu masih berada di luar gabungan kerana berlaku perpecahan dalam parti itu antara Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin sehingga parti tersebut terpecah dua, sebagai menghormati mandat rakyat sedia ada, maka pimpinan PH sedia ada inilah yang harus diberi hak memegang kuasa jika berlaku peralihan kerajaan dalam waktu terdekat ini.
Meskipun ada lima Ahli Parlimen Bersatu sedia bersama PH, termasuk Tun Mahathir sendiri, manakala Warisan pula hanya merupakan ahli gabungan yang bersama dengan PH tetapi bukan ahli PH, kepimpinan PH sedia ada iaitu Anwar Ibrahim seharusnya dipersetujui menjadi satu-satunya calon Perdana Menteri.
Ibaratkan saja PH sebuah pasukan bolasepak dan Tun Mahathir merupakan ketua pasukan sebelum ini, tetapi oleh kerana beliau mengalami kecederaan dan kedudukannya telah diganti oleh Anwar, apabila pasukan itu memenangi pertandingan, orang yang paling diraikan dan lebih layak menerima trofi kemenangan adalah ketua pasukan yang bermain dalam perlawanan, bukan ketua pasukan lama yang berada di tepi padang.
Apa lagi jika ketua pasukan lama itu sudah begitu lama jadi ketua, usianya pun sudah terlalu tua, potensi ketua pasukan baru yang lebih muda, bertenaga dan berwibawa, tentu saja menjadi dambaan semua.
Dengan yang demikian, hujah-hujah bahawa jika PH dikembalikan sebagai kerajaan, maka Tun Mahathir wajib dimutlakkan semula sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga, sepatutnya tidak berbangkit lagi.
Terimalah realiti bahawa proses penggantian kepimpinan PH telah pun berlaku dan gabungan itu kini diketuai oleh Anwar.
Tun Mahathir sendiri seharusnya berjiwa besar dalam hal ini, sedia dan terbuka menyokong Anwar sebagaimana Presiden PKR itu serta seluruh keluarga dan penyokongnya sebelum ini, tanpa keraguan dan sebulat hati memberi sokongan kepadanya.
(Shahbudindotcom 13/06/2020)