Media Malaysia semakin tidak dipercayai rakyat?
Ketika era BN rakyat Malaysia sukar mempercatai berita dalam media Malaysia yang sering berpusing-pusing mempotretkan kebaikan kerajaan.
Sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) mengambilalih pada 2018 kepercayaan rakyat meningkat lebih baik. Namun selepas PH jatuh indeks kepercayaan rakyat ke atas media merudum kembali.
Menurut Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi kerajaan wajar tidak mengawal media dan melihat kemerosotan dalam laporan yang diterbitkan Institut Reuters, Digital News Report yang mendedahkan bahawa kepercayaan rakyat Malaysia terhadap media mencorot daripada 31 peratus pada tahun 2019 kepada 25 peratus pada tahun ini.
Laporan itu juga mencatatkan hanya satu per empat dari responden yang percaya dengan berita yang diperoleh.
Tegas Shu Qi, penurunan peratus kepercayaan terhadap media ketika ini membimbangkan oleh kerana Malaysia sering menduduki tempat keempat dari bawah sejak 2017 kecuali pada tahun 2019 yang menunjukkan sedikit peningkatan.
“Bukanlah mahu meremehkan dan mengatakan bahawa kredibiliti media kita berada di ambang kehancuran. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini dan kita tidak boleh membiarkannya kerana ia boleh membahayakan demokrasi kita.
“Punca masalah ini adalah jelas, percambahan maklumat dan berita palsu menimbulkan kekeliruan dalam penggunaan media.
“Malah, orang ramai tidak mengetahui berita sebenar dan berita palsu, sumber berita mana yang boleh dipercayai dan umumnya siapa yang harus dipercayai,” katanya dipetik.
Pada masa sama, Ahli Parlimen DAP itu berkata, tanpa kepercayaan masyarakat kepada sumber utama maklumat awam (media), akan menyumbang kepada rendahnya tahap kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.
Jelasnya, untuk membendung isu ketidakpercayaan itu, beliau mencadangkan agar dilaksanakan program literasi media secara meluas yang boleh diajar di sekolah-sekolah.
Secara ringkas katanya, masyarakat akan dididik mengenai cara mengakses dan menilai media secara kritis.
Selain itu katanya, kebebasan media mesti dijaga di mana menerusi aspek ini, majlis media yang ditubuhkan sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan awal tahun ini, perlu dihidupkan semula untuk memainkan peranannya sebagai pemantau kepada kebebasan media dalam negara.
“Kerajaan tidak boleh ada campur tangan dalam media dan tidak boleh jadikan media sebagai suara politiknya untuk melayani kepentingan pemerintah sahaja.
“Terakhir, perlunya undang-undang yang tidak hanya menghukum pesalah berita palsu, tetapi juga untuk memastikan jaminan kelangsungan media,” katanya lagi.