Amanah nafas Reformasi, kekal setia kepada Anwar
Dr Muhaimin Sulam
ULASAN: Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional pada hari Sabtu baru-baru ini bermula jam 10.25 pagi dan tamat pada jam 2.35 petang. Mesyuarat paling lama setakat ini. Dan sudah tiga (3) bulan kami terhalang bermesyuarat secara biasa. Untung kerajaan hari ini, kerana mendapat barisan pembangkang yang tidak ghairah ‘main politik kayu tiga’ semasa musim berkurung ini.
Sepanjang sekatan pergerakan, pimpinan Pakatan Harapan (PH) mencari jalan terbaik membina kekuatan semula. Puluhan rundingan dibuat oleh pemimpin PH sebagai perunding bersama. Para perunding AMANAH telah mengutamakan keputusan mesyuarat dan semangat PH untuk mengembalikan mandat rakyat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia (PM). Itulah pilihan pertama. Para perunding AMANAH membawa persetujuan dalam PH hingga sampai ke dinding. Itulah komitmen AMANAH hingga saat ini.
Adalah suatu yang sangat mengelirukan apabila terdapat suara yang mendakwa AMANAH tidak setia dengan agenda reformasi. AMANAH sendiri wujud dari nafas reformasi dan sebahagian besar pimpinan AMANAH kekal memiliki semangat kesetiakawanan yang sekian terjalin dua dekad lalu hingga kini. Sejarah tidak pernah berbohong soal integriti AMANAH dan pimpinan.
Di saat paling getir, AMANAHlah yang menjadi galang ganti kepada jambatan PH yang hampir runtuh. Sesekali AMANAH tidak rasa kesal berkorban demi masa hadapan politik negara yang lebih baik. Hanya kesabaran sahaja yang mendamaikan hati-hati kami.
Episod ‘selasa’ yang ‘gagal’ memperolehi bilangan ahli parlimen yang cukup bukanlah titik pengakhiran mengembalikan mandat rakyat yang dirampas. Selagi ada kudrat dan ruang, AMANAH akan berusaha tanpa lelah bagi memastikan kepentingan negara lebih afdal daripada kepentingan peribadi atau parti sendiri. AMANAH akan lakukan dari pimpinan tertinggi termasuk Penasihat Umum AMANAH hinggalah kepada ahli di peringkat akar umbi.