Seorang lelaki maut di Kuantan malam tadi selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh arak.
Mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian di Jalan Pintasan akibat parah di kepala dan dada.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata dalam kejadian jam 9.20 malam itu, mangsa yang memandu kereta Toyota Yaris difahamkan dalam perjalanan dari rumah di Sungai Isap Perdana ke Gabeng.
Menurutnya, mangsa dikatakan bekerja syif malam sebelum kenderaannya dirempuh sebuah kereta Toyota C-HR yang dipandu melawan arus dan dalam keadaan berbahaya.
“Kereta itu dipercayai mula dipandu melawan arus dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu menyebabkannya hampir bertembung dengan beberapa kenderaan yang mengelak daripada berlanggar,” dipetik BH hari ini.
Kamarulzaman berkata, kereta Toyota C-HR itu dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dan bekerja sebagai peraih ikan dipercayai mengambil minuman keras di rumah kawannya di Semambu sebelum kejadian.
Peraih ikan itu juga cedera ringan di kaki dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk pemeriksaan sebelum direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, mayat mangsa juga dihantar ke HTAA untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas selesai ujian Covid-19.
Sebelum ini, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, terkorban selepas sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu pemandu mabuk, merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS di ibu negara, 3 Mei lalu.
Dalam kejadian jam 2.11 pagi itu, beliau yang sedang bertugas menjaga kawalan SJR meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas kenderaan pacuan empat roda menghempap mangsa.
Sementara itu, pemandu Toyota Hilux mabuk berusia 44 tahun tersebut cedera dan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan.
Dalam masa sama, berita dan gambar kemalangan yang menimpa anggota di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang itu
tular di media sosial.
tular di media sosial.
Tragedi maut menimpa Allahyarham yang berasal dari Ipoh, Perak tersebut mengundang reaksi kesal dalam kalangan warganet.
Orang ramai rata-ratanya menuntut kerajaan segera mengambil tindakan tegas terhadap kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk.