Muhyiddin akan pecat penentang dalam Bersatu?
Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir menjangkakan presiden parti itu Muhyiddin Yassin akan mengikut langkah presiden Umno Najib Razak pada 2016 memecat penentangnya dalam parti.
Bercakap dalam sesi webinar Facebook yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan (PH) malam tadi, Menteri Besar Kedah itu berucap mengenai perpecahan Bersatu yang berpunca daripada “Langkah Sheraton” membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari.
Mukhriz mengimbas ketika beliau dan Muhyiddin dipecat daripada Umno kerana mempersoalkan kepimpinan perdana menteri ketika itu, Najib Razak mengenai peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Pemimpin mesti ditanya apabila kita rasa ada kesalahan, seperti rasuah dan sebagainya. Dan ketika kami menyoal para pemimpin dari dalam, tindakan diambil terhadap timbalan presiden, yang dipecat dengan biadab,” kata timbalan presiden Bersatu itu.
“Alasan yang diberikan adalah beliau tidak mengikut keputusan parti. Harap ingat alasan ini, kerana ia mungkin akan digunakan sekali lagi tidak lama lagi.”
“Pada masa itu, tujuan kami adalah menyelamatkan Umno. Namun, apa yang berlaku ialah orang yang menyalahgunakan kuasanya memecat kami. Kami bertindak untuk menyelamatkan keadaan,” tambah ahli Parlimen Jerlun itu.
Setiausaha Penganjur Kebangsaan DAP Anthony Loke, Setiausaha Agung Amanah Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution juga berucap dalam webinar tersebut.
Ketiga-tiga mereka ahli Parlimen itu adalah menteri dalam kerajaan sebelum ini.