Jual agama sanggup beri nyawa kepada perosak negara

Jual agama sanggup beri nyawa kepada perosak negara



Menjual unta maknanya memindah milik unta secara kekal kepada pihak lain dengan mendapat imbalan sama ada wang atau apa saja.
Menjual unta tidak salah sebab unta memang untuk dijual sama ada jual semua atau jual sebahagian seperti jual susunya dan sebagainya.
Begitu maksud jual agama. Tapi jual agama tidak boleh sebab agama bukan untuk dijual tetapi dipegang, diamal, disebar, dipromosi dan diperjuang.
Bukan sahaja tidak boleh dijual bahkan agama tidak boleh disewa atau digadai. Maknanya agama tidak boleh diguna sebagai alat untuk mendapat habuan duniawi sama ada sedikit atau banyak.
Ada orang ambil habuan dunia melalui tugas menyampaikan agama, macam mana pula? Hal ini dah ditulis sebelum ini iaitu ambil upah untuk mengajar al-Quran. Boleh scroll di bawah.
Nabi SAW tidak pernah mengambil habuan untuk kerja menyampaikan agama kerana al-Quran melarang perbuatan itu. Ayat al-Quran berkaitan jual agama kena cari sendiri.
Apabila disebut ada ulama(?) parti itu jual agama, ada orang parti itu marah. Terpulanglah kamu nak marah sebab itu hak kamu. Lagi pun marah tak perlu bayar.
Pada sama yang sama, pendedahan kepada umum bahawa ulama parti itu jual agama adalah tanggungjawab kami demi memelihara kehormatan agama.
Apa buktinya? Contoh secara umumnya begini. Apabila ulama parti itu sanggup bekerjasama dan memberi nyawa kepada orang dan kumpulan perosak negara kononnya demi membina kerajaan Melayu Islam, itulah jual agama.
Perbuatan memberi kerjasama dan memberi nyawa itu dibuat demi untuk mendapat jawatan, setelah ulama parti itu gagal dan tidak mampu lagi untuk melawan.
Kalau ulama parti itu berjuang untuk agama, lawan teruslah. Kenapa beri kerjasama dan beri nyawa kepada mereka? Bukankah perbuatan merosakkan negara bercanggah dengan agama?
Bukankah orang dan kumpulan itulah yang kamu kafirkan dulu kerana bagi kamu mereka tidak melaksanakan agama, terutamanya hudud dan aryuyu (RUU) 355?
Bukankah orang dan kumpulan itulah yang ulama parti itu persoalkan pegangan agama mereka suatu ketika dulu kerana bagi kamu mereka membiarkan mungkar berleluasa seperti arak dan judi?
Maknanya, ulama parti itu jual atau gadai pegangan agama, perjuangan agama dan nama agama demi mendapat kedudukan dan jawatan duniawi dengan bekerjasama dan memberi nyawa kepada orang dan kumpulan perosak negara.
Siapa pembelinya? Siapa lagi kalau bukan orang dan kumpulan perosak itu, juga penyokong ulama parti itu yang taksub dan tidak guna otak untuk menilai benar dan salah secara waras.
Contoh khususnya apa pula? Banyak dan mudah difahami. Contoh terkini ialah tayang solat tahajud dalam Facebook, semarakkan sentimen agama, kemudian letak nombor akaun bank dan saran aktiviti agama itu ditaja.
Sentimen beragama secara melulu disalai supaya lebih menarik kononnya bertujuan merebut kelebihan sepuluh terakhir Ramadhan. Padahal tujuan asal ialah mendapat sumbangan daripada para pentaksub diri dan parti ulama (?) itu.
Jika aktiviti tidak waras sebegitu tidak dipanggil jual agama, mahu dipanggil apa? Sudahlah perbuatan itu dari sudut agama adalah bid’ah, pada masa yang sama nama agama dicemar seterusnya dilelong.
Jual unta halal dan bahkan dipandang mulia oleh agama. Jual dadah haram dan dibenci oleh agama. Jual tubuh lebih haram dan lebih dibenci oleh agama.
Jual agama bukan sekadar lebih haram bahkan lebih dibenci oleh agama, bahkan penganut agama selain Islam pun tidak buat kerja terkutuk itu. Berhentilah…!