Tik Tok: Pemikiran Noraini cetek, ulama Pas membisu lagi
Apa akan jadi dengan kualiti pendidikan tinggi negara apabila menterinya sibuk mengiklankan pertandingan Tik Tok ketika para mahasiswa bosan dilockdown?
Dapat dimengerti Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad mahu mencipta populariti dalam kalangan anak muda agar ‘selesa’ dengan kerajaan Melayu Perikatan Nasional (PN), dan anak muda berumur atas 18 ini kelak akan menjadi pengundi PN pada pilihan raya umum (PRU) ke 15.
Joget ‘ke sana, ke sini’
Namun sedarkah Noraini bahawa mahasiswa mempunyai banyak masalah lain yang perlu difikirkan selain berjoget Tik Tok ‘ke sana, ke sini’?
Mahasiswa adalah calon pemimpin dalam semua bidang pada masa hadapan. Apakah ilmu yang mereka dapatkan dari aplikasi Tik Tok itu?
Bukankah lebih baik Noraini membuat sidang live Facebook menjawab soalan para mahasiswa mengenai: 1. Apa akan terjadi dalam baki tahun akademik ini? 2. Apa jadi dengan yuran pengajian yang dibayar? 3. Pelajar mendapat biasiswa? 4. Nasib pelajar di luar negara? 5. Bagaimana kualiti dan kebolehcapaian e-learning? 6. Bagaimana peperiksaan akan dijalankan?
Sekiranya persoalan tersebut dijawab maka mahasiswa akan lebih berterima kasih kepada menteri dan mungkin memikirkan untuk mengundi PN dalam PRU 15.
Tik Tok bahaya
Selain itu, sebagai Menteri Pengajian tinggi adakah pengetahuan am Noraini begitu cetek sekali? Tidakkah beliau mengetahui aplikasi Tik Tok pernah disaman kerana didakwa melanggar Children’s Online Privacy Protection Act (COPPA) di Amerika Syarikat?
Media BuzzFeed pula pernah melaporkan TikTok menjadi ‘lubuk’ kepada pemangsa mencari perempuan bawah umur dan mengambil kesempatan ke atas mereka.
Majalah Forbes melaporkan aplikasi ini dipenuhi kandungan lucah membabitkan remaja perempuan dan memberi amaran kepada ibu bapa agar memantau anak-anak mereka yang memuat turun aplikasi.
Adakah Noraini tidak pernah membaca fakta ini? Jika beliau tidak pernah membacanya mengapakah menteri lain dalam PN tidak menegur beliau?
Pas syaitan bisu?
Bukankah isu-isu lucah, tarian terkinja-kinja atau menyanyi tunggang langgang amat dibenci oleh ulama Pas. Sayangnya seperti mana pemimpin Pas membisu dalam isu kerajaan PN memberi kelonggaran syarikat arak beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, kali ini mereka membisu pula dalam isu hiburan hedonis.
Jika menteri Pakatan Harapan (PH) yang melakukan hal sedemikian tidak sampai setengah jam dari tempoh pengumuman maka akan berlambaklah posting di Facebook para pemimpin Pas, terutama Nasruddin Tantawi atau Mokhtar Senik mengecam keras. Para walaon pula menulis fatwa dan mereka-reka hukuman. Tidak kena gaya hukuman ‘takfir’ jatuh ke muka pemimpin PH.
Namun ulama Pas jadi syaitan bisu ketika rakan sejawat mereka dari Umno buat ‘kerja gila’ di bulan Syaaban yang mulia. Malah ulama Pas seolah-olah terlupa larangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang menegah umat Islam melakukan kerja sia-sia dan berdosa menerusi aplikasi Tik Tok.
Jika Pas terlupa mereka boleh bertanya bekas Mufti Wilayah yang menjadi Menteri Agama kerajaan PN hari ini. Bukankah menteri berjiwa Pas ini amat dihormati pemimpin Pas dan sepatutnya sebarang pelanggaran pendapat pejabat mufti perlu ditentang?
Malangnya era kebengkengan Pas telah berlalu. Bengkeng mereka hanyalah lakonan menjual agama. Bila pemimpin mendapat jawatan maka agama ke mana, perjuangan ke mana. Asalkan bukan DAP yang melakukan kemungkaran maka semua yang dilakukan kerajaan PN dilihat mempunyai maslahat politik. Keburukan boleh dihalalkan berdasarkan prinsip ‘mengambil mudarat kecil demi menolak mudarat lebih besar’ negara diperintah DAP.
Tok Tok adalah wajah dan tahap sebenar pemikiran kerajaan PN. Rakyat jika mahu mengharapkan kepimpinan yang lebih baik maka PH adalah jawapannya. Kecerdikan BN sepanjang tempoh 60 tahun lalu telah hilang. Jangan impikan lagi pemimpin BN mampu menyelesaikan masalah sebagaimana melakukannya sejak enam dekad lalu.