Mana kerajaan teknokrat Pas, semua MP jadi pengerusi GLC
Sebelum pilihan raya umum ke 14 lalu, Pas berkempen untuk mewujudkan kerajaan teknokrat. Ahli parlimen (MP) yang menang tidak akan memegang jawatan menteri, sebaliknya profesional akan dilantik untuk menjadi anggota kabinet.
Kerajaan itu merunut Pas akan memastikan Malaysia ditadbir oleh ahli-ahli ekonomi, jurutera, doktor dan sebagainya bagi memastikan efisiensi dan khidmat terbaik buat rakyat.
Kini, bila jadi kerajaan Pas hipokrit dan menerima semua MPnya dilantik sebagai menteri, timbalan atau pengerusi GLC.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan pula berkata, beliau difahamkan semua anggota parlimen kerajaan akan diberi tanggungjawab mengendalikan GLC.
“MP PAS ada 18 orang, lapan orang dah jadi menteri dan timbalan menteri, seorang jadi duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.
“Tinggal sembilan orang (lagi). Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC.
“Kerana mereka semua ini layak, mereka ini adalah ahli parlimen,” katanya kepada media ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelantikan politik khususnya pimpinan PAS ke sebarang agensi kerajaan persekutuan.
Terdahulu media melaporkan antaranya, anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.
Sementara itu Takiyuddin berkata, secara umumnya setiap jawatan itu bergantung kepada undang-undang mengikut kementerian masing-masing.
Katanya, ada agensi atau GLC yang mana pengerusinya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong dan ada lantikan yang dibuat oleh menteri berkaitan.
“Secara umumnya ada agensi atau GLC yang pengerusinya dilantik oleh Yang-Di-pertuan Agong, ada yang dilantik oleh menteri yang bertanggungjawab apabila GLC tersebut di bawah kementeriannya.
“Tapi untuk penyelarasan, semua cadangan lantikan pengerusi GLC mesti mendapat persetujuan daripada perdana menteri,” jelasnya.