Tiada kenaikan tarif air di Negeri Sembilan – MB
Bagi tempoh lima tahun akan datang, rakyat di Negeri Sembilan tidak perlu bimbang berlakunya sebarang kemungkinan kadar tarif air akan naik.
Ia susulan jaminan diberikan Menteri Besar Aminuddin Harun bahawa kadar sedia ada bakal kekal bagi tempoh tersebut.
Tambah Aminuddin, keputusan yang dibuat itu sama seperti yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Negeri Sembilan.
Berikutan itu tegasnya, pihaknya akan membuat semakan secara terperinci dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar yang sebelum ini mengatakan semua negeri secara dasarnya bersetuju melaksanakan pelarasan kadar tarif air yang dijangka dilaksana tahun ini.
“Tiada perbincangan khusus mengenainya dibuat dalam Mesyuarat Exco atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri setakat ini dan pendirian itu selari dengan janji manifesto kerajaan PH Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu tiada kenaikan tarif air dalam tempoh lima tahun ini.
“Saya akan semak semula dengan menteri, tetapi pada dasarnya memang kita sudah janji dalam manifesto tiada kenaikan tarif air sehingga lima tahun ini,” tegas Aminuddin dipetik laporan Bernama.
Terdahulu, Aminuddin merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Seri Aminuddin Harun yang julung kali dianjurkan di Seremban hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Xavier pada Disember lepas bahawa semua negeri secara dasarnya bersetuju menaikkan tarif air tahun ini manakala kadarnya akan dimuktamadkan selepas perbincangan selesai diadakan. pendapatan isi rumah.