RM30 juta bangun semula Pasar Sentul
Sejumlah RM30 juta bakal diperuntukkan bagi pembangunan semula Pasar Sentul.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, peruntukan daripada Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bagi memastikan keselesaan peniaga dan penduduk di sekitarnya lebih baik.
Dan kini jelasnya, pihak berwajib sedang berunding dengan pihak pemaju dan peniaga di pasar berkenaan untuk menentukan lokasi dan tapak sementara bagi memindahkan kira-kira 200 peniaga pasar itu.
“Kami masih lagi dalam proses perbincangan dan rundingan dengan pemilik tanah, peniaga dan pemaju kerana ia juga melibatkan proses pelebaran jalan.
Projek ini agak besar dan perlukan perancangan rapi. Jadi kami kena menjaga kepentingan masing-masing (semua pihak),” jelasnya.
Tambah Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi, sekiranya projek pembinaan semula itu diluluskan, ia akan mengambil masa setahun hingga satu setengah tahun untuk disiapkan.
Sementara itu, Khalid berkata DBKL akan memperuntukkan RM250,000 untuk membaik pulih gerai berkunci Pasar Sentul yang terjejas akibat kebakaran pada 31 Dis lepas.
“Baik pulih gerai-gerai tersebut akan dibuat di tapak sedia ada dalam tempoh tiga bulan dan paling cepat dalam masa sebulan dan penjaja telah bersetuju untuk tidak menjalankan perniagaan sepanjang tempoh itu.
Mengenai 19 orang mangsa kebakaran pasar itu, Khalid berkata setiap mangsa menerima sumbangan berjumlah RM3,000 dengan RM1,500 adalah sumbangan daripada DBKL manakala Yayasan Wilayah Persekutuan dan Pejabat Ahli Parlimen Batu masing-masing menyumbang RM1,000 dan RM500 untuk menampung perbelanjaan harian mangsa bagi tempoh tiga bulan itu