Mansuh hukuman mati: Bukan keseluruan hanya mandatori sahaja
Propaganda pembangkang kononnya kerajaan akan menggantikan hukuman mati seluruhnya dan digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup keliru sama sekali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata hanya hukuman mati mandatori (mutlak) dimansuhkan bukannya semua hukuman mati
Liew berkata langkah berkenaan selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa di mana hakim mempunyai budi bicara dalam mengenakan hukuman mati berdasarkan fakta dan keadaan khusus setiap kes yang berbeza.
“Laporan akhir Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori akan dikemukakan kepada saya pada akhir bulan ini sebelum tindakan lanjut diambil.
“Saya juga memberi jaminan bahawa pandangan kesemua pihak berkepentingan dalam perkara ini akan diberi pertimbangan sewajarnya dalam proses membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu sebagai respons kepada kebimbangan yang dikemukakan oleh ahli keluarga dan wakil-wakil mangsa pembunuhan pada mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Richard Malanjum di Putrajaya semalam.