PH mudah rampas kerusi Kimanis
Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak akan berdepan masalah besar untuk menawan Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 18 Januari.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata walaupun Kimanis merupakan kubu kuat Umno, namun berdasarkan kemenangan diraih PH pada PRK Sandakan melalui Vivian Wong Shir Yee Mei tahun lalu, beliau yakin sokongan rakyat Sabah telah memihak kepada PH.
“PRK Sandakan mampu menjadi petunjuk kepada PH. Rakyat Sabah berbeza dengan rakyat di Semenanjung. Sentimen Sabahan mereka sangat tinggi. Keadaan politik juga berbeza.
“Rasanya tiada masalah. Saya percaya Parti Warisan Sabah (Warisan) mampu selepas satu tahun lapan bulan ini dengan memberikan pembaharuan di Sabah
“Saya akan turun membantu berkempen di sana pada 10 Januari ini,” katanya kepada media selepas Majlis Meraikan Pelajar Tahun Satu dan Waris di Sekolah Kebangsaan Awana hari ini.
Semalam, media melaporkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, jentera parti itu akan digerakkan bermula pada hari penamaan calon dan akan bersama-sama jmembantu entera parti komponen PH yang lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada pada 4 dan 14 Januari.
Pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu melalui hakim Lee Heng Cheong mengisytiharkan kemenangan Anifah sebagai tidak sah dan terbatal.