Hj Hadi akui sumpah laknat tiada dalam Islam
Sumpah laknat seperti dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak bagi menafikan penglibatannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tiada dalam undang-undang syariah Islam.
Perkara itu diakui sendiri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bagi menjawab pertanyaan seorang penonton ketika menghadiri sebuah acara yang bertanya pendapatnya berkenaan sumpah laknat yang dilakukan Najib.
Menurut Hadi, didalam Islam, undang-undang syariah hanya memperuntukkan ‘li’an’ iaitu sumpah yang hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat tuduhan daripada suami bahawa isterinya berzina dengan orang lain.
Isteri boleh melakukan sumpah laknat di masjid bagi menafikan tuduhan tersebut.
“Sepatutnya bila orang yang tuduh tidak ada saksi, (individu yang dituduh) senyap sahaja tidak perlu bersumpah. Itu kaedah yang ada dalam syarak,” katanya seperti dipetik laporan Free Malaysia Today.
Pada 20 Disember lalu, Najib melakukan sumpah laknat bagi menafikan tuduhan bahawa dia telah mengarahkan supaya Altantuya Shaariibuu dibunuh. sumpah itu dilakukan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Sumpah laknat itu dibuat selepas bekas anggota pasukan khas polis (UTK), Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya mendakwa arahan untuk membunuh warga Mongolia itu datang daripada Najib yang ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri.
Melalui akuan berkanun (SD) dari Penjara Kajang, Azilah mendakwa Najib meyakinkannya bahawa Altantuya adalah seorang perisik asing yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara. – RF8 Media