Operasi besar-besaran banteras pendatang degil bermula
Dengan tamatnya tempoh pengampunan bagi pendatang tanpa izin pada 31 Disember 2019 lalu maka Jabatan Imigresen Malaysia akan memburu pendatang tanpa izin yang masih berada dalam negara yang masih berdegil dan tidak mahu pulang sukarela dalam program Back For Good (B4G).
Menurut Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud, jabatan menyasarkan tangkapan kira-kira 70,000 pendatang tanpa izin.
“Program B4G tamat pada 31 Disember lalu dengan jumlah 190,471 pendatang tanpa izin mendaftar untuk pulang secara sukarela.
“Namun, kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh mereka dan segelintir majikan yang masih berdegil. Oleh itu, mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang jika dikesan dalam operasi,” katanya dipetik TMI.
Menurut jabatan itu, lebih 1,800 warga asing diperiksa di seluruh negara dalam tempoh 24 jam pertama sebaik tempoh itu tamat.
Sehubungan itu, Khairul berkata, majikan yang dikesan menggaji pendatang asing tanpa izin boleh diambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Majikan juga boleh didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIPSOM) jika terdapat elemen paksaan atau eksploitasi.
“Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pendatang tanpa izin supaya tampil menyalurkan maklumat supaya tindakan lanjut boleh diambil,” katanya.
Program yang bermula pada Ogos itu merupakan program terakhir yang ditawarkan agar pendatang asing tanpa dokumen pulang ke negara asal tanpa tidak dikenakan tindakan undang-undang berat.
Mereka yang mahu menyertai program ini cuma perlu mendapatkan surat sokongan daripada kedutaan masing-masing dan mendapatkan pas khas dari imigresen untuk keluar dari Malaysia.
Untuk layak menyertai program ini, pemohon perlu membeli tiket kapal terbang pulang ke negara mereka dan membayar denda RM700.
Nama mereka turut disenaraihitamkan oleh kerajaan bagi memastikan mereka tidak kembali ke Malaysia.
Satu lagi program pengampunan yang dijalankan pada 2014 berjaya membawa pulang seramai 840,000 pendatang dan mengutip denda berjumlah kira-kira RM400 juta.