Jangan cipta isu pecah belahkan keharmonian kaum
Amalan tradisi meraikan perayaan tidak sepatutnya dijadikan isu sehingga memecah-belahkan keharmonian antara kaum di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, amalan menggantung tanglung sebagai dekorasi hiasan sambutan Tahun Baharu Cina adalah budaya serta tradisi masyarakat Cina.
“Amalan menggantung tanglung ini perkara biasa. Jadi jangan jadikan isu yang boleh pecah-belahkan keharmonian. Kita ada banyak persamaan.
“Selama kita merdeka tidak pernah jadi isu mengenai tanglung. Kalau atas dasar keselamatan, kita boleh pertimbang tetapi kalau sudah jadi tradisi, ia tidak jadi masalah,” katanya.
Dr Wan Azizah sebelumnya mengulas kekecohan berhubung isu pemasangan tanglung dan hiasan bagi sambutan perayaan Tahun Baru Cina d SMK Pusat Bandar Puchong 1, Pusat Bandar Puchong baru-baru ini.
Isu tersebut yang dibangkitkan seorang pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang mendakwa kononya ibu bapa pelajar merasakan ia satu percubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama lain terhadap murid Islam.
Sebagai rekod, sambutan perayaan tahun Baharu Cina adalah perayaan budaya dan bukan sambutan keagamaan.
Beberapa pemimpin sebelum ini menegaskan bahawa tanggungjawab rakyat untuk mengekalkan keharmonian, dan bukan mencari isu bagi melaga-lagakan sesama rakyat negara ini. –