Walaupun banyak sebab yang menjadi punca kekalahan calon Warisan, sekutu PH dalam PRK Parlimen Kimanis, tetapi tidak dapat dinafikan salah satu puncanya ialah ketidakpuasan hati rakyat terhadap prestasi kerajaan pimpinan Tun Mahathir Mohamad.
Jika sebelum ini PH kalah di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai, kekalahan di Kimanis ini membuktikan perasaan tidak puas hati rakyat sudah mula merebak ke Sabah.
Meskipun dalam PRU14 lalu, Kimanis dimenangi oleh BN melalui Anifah Aman dan kini dikekalkan lagi oleh BN melalui Mohamad Alamin, tetapi undi majoriti adalah perkiraan utama yang harus difikirkan.
Dulu Anifah menang hanya dengan 156 undi dan kini Mohamad Alamin memenanginya dengan 2,029 undi, suatu pertambahan undi yang sangat besar dalam keadaan Warisan sudah menjadi kerajaan di peringkat negeri dan PH menjadi kerajaan di Pusat.
Sekaligus ini membuktikan kemasukan beramai-ramai bekas pemimpin-pemimpin UMNO ke dalam Bersatu selepas PRU14 lalu yang melibatkan 16 Adun, 6 Ahli Parlimen, 2 senator dan 22 Ketua UMNO Bahagian tidak menyumbang apa-apa kepada kekuatan PH dan Warisan di Sabah.
Bersatu jelas tidak berkesan dan tidak berfungsi di Sabah kerana ketidakpercayaan rakyat terhadap parti itu dan Tun Mahathir yang mengetuai kerajaan di peringkat Persekutuan.
Banyak sebab yang mendorong ketidakpuasan hati rakyat kepada kerajaan Pusat, antaranya berkaitan janji manifesto, mengembalikan hak-hak Sabah yang tidak ditunaikan, sikap berdolak-dalik Perdana Menteri dalam banyak perkara, kecenderungan kembali kepada perangai PM4 dan kegagalan bersikap jujur serta ikhlas berkaitan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.
Memang diakui semua isu tersebut lebih berkembang di Semenanjung, tetapi dengan dunia terbuka media sosial ketika ini, kesannya dengan mudah merebak hingga ke Sabah.
Lantaran itu, PH harus bertindak segera dan drastik untuk mengembalikan semula sokongan rakyat, bukan saja di Sabah, bahkan juga di seluruh Malaysia.
Kimanis adalah isyarat penolakan yang nyata kepada PH dan kepimpinan Tun Mahathir.
Di Sabah, mungkin banyak perkara dan isu perlu diperbaiki oleh kerajaan negeri yang dipimpin oleh Shafie Apdal seperti Pas Sementara Sabah atau PSS dan lain-lainnya.
Namun, perubahan di peringkat Pusat jauh lebih penting demi untuk merangsang sama perubahan di Sabah.
Yang paling nyata, dengan kekalahan besar di Kimanis dan 4 PRK sebelum ini, isyarat yang paling mudah untuk difahami ialah kedudukan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak lagi popular di hati rakyat.
Sementara nama penggantinya sudah ada dan tempoh dua tahun beliau menjadi Perdana Menteri juga hampir tiba, Tun Mahathir tidak perlu berfikir panjang lagi untuk menyelamatkan masa depan PH dalam PRU15 akan datang.
Walaupun berundurnya Tun Mahathir dan beradanya Anwar sebagai Perdana Menteri baru belum tentu dapat menjamin PH akan gemilang dan mampu menang PRU15, tetapi jika tidak berlaku penggantian, memang boleh dijamin PH hanya akan jadi kerajaan sepenggal saja.
Selagi Tun Mahathir berada di kerusi Perdana Menteri, sokongan rakyat akan terus merosot dan merosot tanpa henti.
Kini, terserah kepada Tun Mahathir dan adalah masa terbaik untuknya bertindak dengan sebaik-baiknya tidak perlu menunggu sehingga Mei akan datang untuk berundur atau sampai Majlis Presiden PH menetapkan tarikh pengundurannya.
Tun Mahathir sudah tidak ada pilihan lain lagi melainkan perlu menetapkan peralihan kuasa dalam waktu terdekat ini dan jika itu dapat direalisasikannya, selain PH akan lebih selamat, malah kenegarawanannya juga akan terus terpelihara. (ShahbudinHusin 18/01/2020)