Masa depan BN belum pasti, MN tidak undang MCA
Teori mengatakan BN dan Pas akan membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya umum (PRU) ke 15 masih di awang-awangan. Hal ini kerana pakatan yang baharu terbentuk kemungkinan mengambil model Angkatan Perpaduan Ummah pada awal 1990an lalu.
Model itu menyaksikan Semangat 46 membentuk pakatan bersama Pas dan parti Melayu lain dalam APU tetapi satu pakatan lagi bersama DAP dan parti-parti pelbagai kaum
Penganalisis politik yakin BN tidak akan membawa 2 parti komponennya, MCA dan MIC menyertai Muafakat Nasional (MN) secara rasmi kerana bukan Islam tidak tertarik dengan gagasan kerjasama Umno-PAS.
Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, status quo yang meletakkan 2 parti komponen itu di luar MN ialah strategi politik terbaik ketika ini.
Katanya, MIC sudah mengumumkan pendiriannya tiada masalah dengan penerimaan MN secara rasmi, tetapi MCA dilihat tidak mahu terikat dengan kerjasama Umno-PAS.
“Bukan menjadi rahsia MCA tidak mahu terperangkap dengan beberapa isu sensitif sekitar Muafakat Nasional, hudud seumpamanya.
“Jadi, tiada sebab untuk Zahid melakukan sesuatu yang agak ekstrem, terutama sekali untuk MCA,” katanya dipetik FMT.
Pemuda Umno dalam perhimpunan agung parti minggu lalu menggesa MN dijadikan institusi seperti BN yang dianggotai pelbagai parti.
Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, sudah tiba masanya Umno bergerak dari era Parti Perikatan (1952 hingga 1973) dan BN (1973 hingga sekarang) kepada MN.
Beliau berkata, MN perlu melangkaui soal percaturan kuasa dan pengagihan kerusi semata-mata, bukannya sekadar gabungan yang dianggap bertujuan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) saja.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya yang senada berkata, Zahid perlu memikirkan reaksi MCA dan MIC, jika beliau mahu menginstitusikan gagasan kerjasama Umno-PAS itu.
“Belum tentu pengundi Cina dan India bersetuju keseluruhannya.
“Ia perlu banyak pencerahan kepada semua etnik di Malaysia agar tidak terkeliru atau dimanipulasi oleh pihak lawan,” katanya dipetik FMT.