Kemenangan di Tg Piai mungkin malapekata buat BN?
Kemenangan calon BN Wee Jeck Seng dengan majoriti besar 15,806 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini mungkin akan menjadi malapetaka kepada gabungan itu pada masa hadapan.
Majoriti besar itu kini membuat ahli politik BN berangan-angan untuk kembali bermewah-mewah kerana mereka hanya perlu menunggu lagi tiga tahun sebelum diangkat menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum ke 15.
Namun angan-angan itu akan menjadi mimpi ngeri kerana berdasarkan tinjuan media kerana undi protes pada PRK lalu kerana pengundi tidak faham proses menunaikan janji pilihan raya yang mengambil masa.
“Rakyat marah dengan PH kerana tidak tunaikan janji,” kata pengundi di Tanjung Piai yang hanya mahu dikenali sebagai Seng kepada The Malaysian Insight.
Kata pemilik perniagaan kedai serbaneka itu, undi yang diperolehi Wee dalam PRK tersebut hanya bertambah sekitar 5,000 undi daripada yang diperolehinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pada PRK kali ini Wee memperolehi 25,466 undi, manakala pada PRU14, walaupun tewas kira-kira 500 undi kepada Allahyarham Md Farid Md Rafik daripada Bersatu, beliau memperolehi 20,731 undi.
Analisis oleh badan penyelidik Ilham Centre juga mendapati sokongan pengundi Cina menurun 40% berbanding semasa PRU14 lebih kurang setahun setengah yang lalu.
Tanjung Piai mempunyai 42% pengundi Cina, manakala 51% pengundi Melayu.
Dalam analisis sendiri, Seng berkata beliau tidak percaya pengundi Cina sudah berpatah balik menyokong BN dan MCA.
“Saya rasa 3,000 undi Wee datang daripada ahli Pas. Dia hanya dapat bonus kira-kira 2,000 undi,” kata Seng, ketika ditemui di Kukup, baru-baru ini.
“Ini tidak boleh dijadikan ukuran untuk PRU akan datang,” tambahnya.
Kemenangan Wee juga katanya berlaku disebabkan penyokong PH tidak keluar mengundi.
“Calon PH, Karmainie Sardini hanya dapat lebih kurang 10,000 undi, daripada bacaan saya, penyokong PH tidak balik dan tidak keluar mengundi,” katanya.
Seorang lagi pengundi berkata MCA mengambil untung daripada isu pendidikan terutamanya soal peruntukan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman yang ditahan oleh kerajaan dan langkah pengenalan khat Jawi di sekolah jenis kebangsaan.
Semasa tempoh berkempen, pengundi Cina juga lebih ramai di program anjuran BN berbanding ceramah PH, katanya yang tidak mahu dikenali.
Sementara itu, seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, BN menang kerana populariti Wee, yang jadi wakil rakyat dua penggal di kawasan itu.
“Waktu PRU14, kita bukan mahu tolak Wee, kita cuma mahu ajar ‘tauke’ Wee…sebab itu dia kalah cuma 500 undi.
“Tapi sekarang kita nampak parti politik dalam PH asyik bergaduh sesama sendiri, sebab itu orang marah… patut jaga negara, pulihkan ekonomi,” kata Lee, 40, yang ditemui di Pekan Nanas.
Menurutnya, trend pengundian pasca PRU14 juga berbeza kerana pengundi tidak lagi memilih calon berdasarkan parti sebaliknya berdasarkan keupayaan dan keperibadian mereka.
“Undi sekarang bukan macam dulu lagi, dulu orang anggap mengundi ini macam agama, sekarang tidak lagi, siapa boleh kerja kita beri peluang,” tambah Lee.
Segelintir pengundi bagaimanapun dilihat optimis terhadap BN, ekoran kerjasama Muafakat Nasional bersama PAS.
“Sekarang orang Cina pun sokong Muafakat Nasional,” kata seorang pemimpin masyarakat Cina, yang enggan mendedahkan identitinya.
Md Amin Hussin, 59, berkata, kesilapan PH adalah meletakkan calon yang pernah tewas dalam PRU14.
“PH pun salah letak calon, belum apa-apa, baru calon, belum menang lagi dah keluar kenyataan bersyukur harga kelapa sawit RM250 satu tan. Memanglah orang kampung marah,” katanya.