PKR Sabah sokong Anwar PM ke 8
Konvensyen parti PKR Sabah di Penampang semalam melafazkan ikrar taat setia kepada presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Christina Liew berkata, PKR Sabah mahu memastikan Ahli Parlimen Port Dickson itu dinobatkan sebagai Perdana Menteri kelapan.
Tambah Christina, pihaknya yakin Malaysia boleh dipacu lebih baik terutama dari pembangunan ekonomi dan keharmonian bermasyarakat di negara ini apabila Anwar dilantik perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohammad yang kini merupakan perdana menteri interim kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Bagi mencapai objektif itu tambahnya, anggota PKR perlu mengelakkan pergeseran yang hanya menguntungkan pihak lawan.
“Ini adalah antara tugas penting kita untuk memastikan presiden menjadi Perdana Menteri kelapan tahun hadapan.
“Oleh itu, kita perlu kurangkan pergeseran sesama kita. Pemilihan parti sudah berakhir dan marilah tumpukan perhatian untuk membantu rakyat yang mengharapkan perubahan yang lebih baik,” katanya.
Menariknya pendirian PKR Sabah itu dibuat ketika timbalan Presiden parti itu, Mohammad Azmin Ali mengambil langkah songsang dengan mengesa Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal.
Gesaan Azmin itu dilihat sesetengah pihak sebagai cubaan untuk mempengaruhi Dr Mahathir agar tidak mengotakan janji seperti termaktub dalam konsensus dipersetujui pemimpin PKR sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. – RF8 Media