LAIN KALI JANGAN CAKAP ISU PERKAUMAN, KAN DAH JATUH MARUAH UMNOPAS..TAK GITU?



Berikutan akhirnya BN meletakkan calon MCA di Tanjung Piai, bukan saja UMNO, malah Pas yang merupakan rakan kerjasamanya juga menerima kecaman serta kritikan daripada pelbagai sudut.
UMNO didawa tunduk kepada kaum Cina, UMNO bukan pejuang Melayu, MCA lebih hebat daripada UMNO, kempen BMF atau Buy Muslim First jadi tidak bermakna dan macam-macam lagi serangan bertalu-talu datang menimpa.
Sejak semalam, bukan saja banyak kecaman ditujukan kepada UMNO berikutan perkara itu, malah tentera siber UMNO pun nampaknya sibuk mempertahankan diri tentang kewajaran memberikan MCA bertanding di Tanjung Piai itu.
Pas pula turut dilemparkan dengan pelbagai kritikan, termasuk diketengahkan semula beberapa kenyataan media Hadi Awang sebelum ini yang menyebut tentang perlunya orang Islam mengundi calon Islam dan mengutamakan pemimpin beragama Islam.
Sebetulnya, dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum serta agama dan BN sendiri merupakan parti yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC, meletakkan calon Melayu atau bukan Melayu di sesuatu kawasan bukanlah isu besar, malah suatu keperluan.
Untuk mentadbir negara, mana-mana parti sekali pun perlukan sokongan daripada semua kaum. Tidak mungkin dengan sokongan satu-satu kaum saja sesiapa dapat mentadbir negara ini.
Maka, tidak ada salahnya meletakkan MCA atau calon bangsa Cina atau MIC (India) bertanding di mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai.
Tambahan lagi, dalam konteks Tanjung Piai misalnya, kerusi itu memang kouta MCA sejak ia diwujudkan pada 2004 lagi.
Maka, di mana salahnya memberi semula MCA peluang bertanding di situ?
Apa yang salah ialah sikap UMNO sendiri yang terjerumus kepada politik kaum dan agama yang keterlaluan sejak kebelakangan ini, terutama sejak berkawan dan bekerjasama dengan Pas.
Sikit sikit Melayu, sikit sikit Islam dan seolah-olah kaum lain tiada hak di negara ini.
UMNO tidak harus terperangkap dengan sikap melampau Pas yang melihat kaum Cina adalah sama seperti DAP. Bermusuh dengan DAP tidak seharusnya bermusuh dengan semua pengundi Cina secara pukul rata.
Fikirlah bahawa Pas yang dulu hanya berjuang atas nama Islam, tetapi kini turut sama tebal berjiwa Melayu dan anti DAPnya hanya mampu berkuasa di Kelantan dan Terengganu saja.
Jika begitu sikap Pas, selama-lamanya hanya Kelantan dan Terengganu sajalah tapak untuk parti itu bergelumang dan berkubang.
Hanya apabila Pas bersikap terbuka seperti beberapa tahun sebelum ini saia mereka dapat menang di Selangor, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan beberapa negeri yang lain.
Apabila kembali semula kepada sikap perjuangan memusuhi kaum dan bangsa lain, Pas akhirnya tidak mampu ke mana-mana, kecuali Kelantan dan Terengganu saja.
Dalam konteks Tanjung Piai khususnya dan lain-lain kawasan amnya, baik kepada BN atau PH, meletakkan sesiapa juga sebagai calon tidak harus dilihat daripada sudut kaum dan agama semata-mata.
Ia adalah berdasarkan kesesuaian dan adanya kerjasama kedua-dua pihak, baik BN atau PH, dengan semua kaum dan perlunya sokongan yang pelbagai untuk mencapai kemenangan.
Jika hari ini UMNO dan BN menerima kesan dan serangan berhubung tindakan meletakkan MCA bertanding di Tanjung Piai, ia tidak lain berpunca daripada salah serta silap mereka sendiri yang suka bermain sentimen kaum secara keterlaluan kebelakangan ini.
Sikit-sikit apa yang berlaku dalam PH, semua disalahkan DAP dan orang Cina, meskipun bukan itu hakikatnya.
Tetapi, untuk menunjukkan mereka lebih berjuang untuk Melayu kononnya, tambahan pula dikipas oleh Pas, itulah yang dilakukan oleh UMNO sejak akhir-akhir ini.
Sedarlah, politik kaum yang melampau tidak akan membawa sesebuah parti itu ke mana-mana, malah akhirnya akan menikam diri sendiri apabila dalam waktu yang lain kita sebenarnya memerlukan sokongan semua untuk meraih kemenangan.
Sudah insafkah UMNO atau selepas Tanjung Piai nanti, mereka akan kembali kepada perkauman semula? (ShahbudinHusin 31/10/2019)