Kementerian arah Utusan bayar gaji pekerja
Akhbar milik Umno, Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu) yang ditutup baru-baru ini diarah menyelesaikan bayaran gaji September dan Oktober kepada semua 815 kakitangannya menjelang akhir bulan ini.
Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas siasatan mengenai masalah dialami syarikat Utusan Melayu dibuat pegawai kementeian melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Bayaran itu perlu dibuat secara sekali gus kepada kakitangan yang masih berkhidmat setakat 30 Oktober tahun ini.
Syarikat penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo!, juga diminta membuat bayaran penuh kepada pekerja yang terlibat dalam pemberhentian melalui skim pemisahan sukarela (VSS) pada 2018.
“Hasil siasatan mendapati Utusan Melayu menghadapi kemerosotan aliran tunai sejak Mei 2018 dan mengeluarkan memorandum pekeliling pada 9 Okt 2019 memaklumkan bahawa semua operasi syarikat berkenaan akan diberhentikan berkuat kuasa pada 9 Oktober 2019,” kata Kementerian Sumber Manusia.
Sementara itu, kementerian juga meminta entiti pelikuidasi interim bagi Utusan Melayu, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd (UHY) – yang mengambil alih sepenuhnya Utusan Melayu pada 8 Oktober lalu memastikan semua pekerja yang diberhentikan menerima pampasan sewajarnya mengikut Akta Kerja 1955.
Utusan Melayu pula perlu mengemukakan borang pemberhentian kerja dan mengeluarkan notis penamatan kepada semua pekerja yang terlibat, atau membayar gaji ganti notis.
“Pihak pekerja yang diberhentikan akan membuat tuntutan bayaran gaji di Pejabat Tenaga Kerja Kuala Lumpur dalam masa terdekat,” katanya.