‘Cuba jatuh kerajaan PH musuh negara’
Rakyat melihat komen-komen bertali arus mengenai ‘kemungkinan’ kerajaan baharu terbentuk tanpa DAP dan Amanah melemahkan pentadbiran negara.
Rata-rata generasi muda semakin sinis terhadap politik dan mahukan kerajaan serta pembangkang serius membangunkan negara, bukan cuba mewujudkan ketidakstabilan demi percaturan politik yang akhirnya mengurangkan keyakinan pelabur sekali gus menambah kesukaran ekonomi.
“Sesiapa yang berniat jahat ingin jatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) wajar dilabel sebagai ‘musuh negara’, kata Prakash yang semakin jelek menghadapi adu domba pembangkang ke atas kerajaan PH.
“Mereka nampaknya semakin berani dalam kegiatan subversif. Tetapi nasib baik ada orang dalam PH yang boleh membaca ‘game’ atau percaturan politik puak musuh ini,” katanya yang memiliki kedai barang elektrik di Kepong Baru, Kuala Lumpur.
Beliau berpendapat selagi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad belum menetapkan tarikh jelas peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, maka pelbagai spekulasi akan berterusan untuk mengugat kestabilan Kerajaan PH
Selain itu, Prakash juga resah mengenai keadaan ekonomi dan terdapatnya khabar angin mengatakan pelaburan asing menurun dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Jika laporan penurunan pelaburan itu benar ia mungkin disebabkan oleh senario politik yang tidak pernah stabil sejak 10 Mei tahun lalu. Dan ini ditambah pula dengan perbuatan musuh untuk membentuk kerajaan baru. Semua ini sedang diperhatikan oleh golongan usahawan di peringkat antarabangsa dan saya berani ramalkan kalau situasi terus begini maka angka pelaburan asing akan turun lagi sebelum hujung tahun,” katanya.
Namun menurut Prakash, rakyat perlu menyokong kerajaan PH sehingga habis penggal. Dalam Belanjawan 2020 banyak janji manifesto cuba dipenuhi biarpun kekurangan wang.
Katanya, pembangkang yang ghairah membentuk kerajaan baharu sebaliknya tidak pula memberikan sebarang pelan pengurusan ekonomi atau kritik yang membina terhadap pengurusan negara. Situasi hanya akan kembali kepada era ‘berhutang’ Najib jika BN dan Pas berkuasa.
“Saya harap rakyat akan menyokong Kerajaan PH dan menolak mana-mana pihak yang mahu menghalang Anwar Ibrahim menjadi PM. Ramai pemimpin-pemimpin pembangkang nampaknya kuat memainkan isu perkauman tetapi apakah pelan mereka untuk membawa Malaysia maju ke depan?.
“Saya yakin dengan Anwar sebagai PM Malaysia akan mencapai kejayaan dalam masa 10 tahun lagi biarpun sekarang sudah terlewat untuk Wawasan 2020,” katanya. – RF8 Media