Perbalahan dalam Umno lebih dahsyat dari PKR
Rakyat Malaysia yang menganggap perbalahan dalam PKR baru-baru ini adalah krisis politik yang boleh memecahkan Pakatan Harapan ternyata silap.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Terengganu, Azan Ismail berkata, isu dalaman PKR biasanya tidak berpanjangan dan boleh diselesaikan secara berhemah.
Menurutnya, krisis yang berlaku dalam parti pembangkang Umno sebenarnya lebih parah tetapi media arus perdana pro BN tidak mensensasikannya.
“Apa yang berlaku dalam KEADILAN itu hanyalah sekelumit kecil asam garam dalam parti politik.
“Kalau setakat ada sedikit perbezaan pandangan atau yang digambarkan sebagai macam ada perebutan kuasa sebagainya ini hanya perkara biasa. Ini yang membuatkan KEADILAN lebih kuat pada masa akan datang.
“Perlu kita hindari adalah isu perpecahan atau peribadi seperti yang berlaku dalam Umno, Pas atau parti lain yang melalui zaman huru hara mereka,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Tambah Azan, krisis berpuak-puak dalam Umno telah berlarutan sejak 30 tahun lalu tetapi tidak memecahkan parti Melayu itu.
“Sebenarnya apa yang berlaku dalam Umno berlarutan sejak tahun 1987, masa Tengku Razaleigh membuka langkah mempersoalkan kedudukan Tun Mahathir pada masa itu.
“Lembaran perpecahan dalam Umno ini tidak pernah sunyi dan reda (bergolak) sehingga sekarang,” katanya lagi – RF8 Media