MB Johor janji cari penyelesaian pencemaran Pasir Gudang
Kerajaan negeri Johor berjanji tidak akan lepas tangan dalam isu pencemaran yang berlaku di kawasan Pasir Gudang.
Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, walaupun Kerajaan Negeri merasa sedih dan terkilan kerana pembangunan yang dirancang pentadbiran terdahulu itu tidak mengambil kira kelestarian dan kesan jangka panjang terhadap penduduk, namun mereka akan mencari jalan penyelesaiaan kepada masalah tersebut.
“Kita tidak mahu hanya menuding jari kerana kita sedar, ia tidak dapat menyelesaikan masalah.
“Oleh itu, pada hari ini kita mengambil tanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian dalam menangani insiden ini supaya tidak terus berulang,” katanya.
Dr Sahruddin sebelumnya berucap pada Sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang di Stadium Tertutup Perbandaran Pasir Gudang pada Ahad.
Dalam majlis serupa beliau turut memohon maaf kepada semua penduduk kawasan itu susulan isu pencemaran tersebut.
“Percayalah sebagai ketua negeri, saya sentiasa mengambil berat dan mengambil tahu perkembangan semasa di Pasir Gudang,” tambahnya
Turut hadir dalam sesi tersebut antaranya Exco Kesihatan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Exco Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Tan Chen Choon; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Zainor Adani.
Sementara itu tambah Sahruddin, rakyat perlu memahami bahawa usaha mencari jalan penyelesaian dalam menangani insiden di Pasir Gudang tidak boleh dilakukan sekelip mata.
Setiap tindakan jelasnya perlu dirangka dengan komprehensif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak agar kesannya memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Sesi townhall pada hari ini diadakan bagi memberi penerangan kepada masyarakat. Ini penting agar ia tidak terus menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat,” jelasnya. – RF8 Media