Kerjasama Umno – Pas tidak mungkin kuasai PRU 15
Kerjasama Umno – Pas dianggap bakal menjadi cabaran sengit kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke 15 kelak.
Bagaimanapun penganalisis politik kurang yakin empat negeri PH akan tumbang berdasarkan jumlah undi digabungkan, apatah lagi melihat strategi BN mengumpan Pas bertanding tiga penjuru dalam PRU 14 lalu berakhir dengan gabungan itu hilang Kerajaan Persekutuan buat pertama kali dalam sejarah.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan PKR, G. Manivanan kerjasama Umno – Pas tidak akan menambah sokongan, sebaliknya mungkin mengurangkan undi andainya pendekatan politik yang diambil mereka hanya menaikkan sentimen Melayu dan menentang kemajmukan masyarakat Malaysia.
“Negara kita dikenali sebagai sebuah negara berbilang kaum, bangsa dan agama tetapi kerana sikap pembangkang yang kolot, merasakan mereka akan menang dengan hanya menguasai undi Melayu maka tidak mustahil keharmonian negara akan tergugat di masa akan datang.
“Hal ini tidak akan menguntungkan parti pembangkang. Impak isu perkauman akan turut memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak.
“Jangan terkejut Sabah dan Sarwak akan menolak Pas dan Umno dalam PRU 15 sekiranya mereka mengasingkan bangsa Melayu dan bukan Melayu,” katanya dipetik SK.
Selain itu, Manivannan berkata, tindakan Pas yang sering mengeluarkan pendapat agama tanpa merujuk sensitiviti masyarakat majmuk pasti akan menimbulkan tanggapan negatif terhadap Islam dan kerjasama dengan Umno.
Katanya, orang Melayu yang lebih realistik tidak akan menerima politik agama sempit yang bakal menyukarkan hubungan antara kaum pada masa hadapan.
“Tidak mustahil Melayu dan bukan Melayu selepas ini akan menolak Pas dan Umno sekiranya mereka terus menggugat sensitiviti kaum. Nak keluarkan pandangan atau hujah, ahli politik perlu bertanggungjawab kepada semua kaum.
“Contohnya di mana bukti Melayu tidak mendapat hak apabila kerajaan PH memerintah? Sehingga hari ini, perdana menteri, pemimpin utama dan pemegang jawatan tertinggi di institusi kerajaan kebanyakkan orang Melayu.
“Oleh itu, masyarakat disaran menolak politik perkauman sekiranya mahu negara terus maju ke depan,” katanya lagi. – RF8 Media