‘Tunjuk manfaat PH berkuasa, rakyat makin kecewa’
Kerajan Pakatan Harapan diseru agar segera mengurangkan kos hidup dan menunjukkan kepada rakyat manfaat yang diperolehi mereka menjatuhkan BN pada 9 Mei 2018.
Seorang peniaga kecil yang mahu dikenali sebagai Kak Maimunah berkata rakyat yang mengundi PH semakin tidak sabar menunggu pembaharuan yang dijanjikan selepas lebih setahun BN direhatkan.
“Harga barang-barang terutamanya makanan dan minuman dalam tin masih tinggi, sama berbanding dengan zaman Cukai Barangan Dan Perkhidmatan dulu.
“Begitu juga harga banyak barangan kegunaan rumah. Sebab itu saya tidak percaya kerajaan kata banyak dana pelaburan asing masuk dan ekonomi akan pulih. Kalau ada banyak dana, tentu harga barang tidak akan begitu mahal,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Selain itu, Kak Maimunah juga meragui keupayaan Kerajaan PH untuk menurunkan harga barang kerana sehingga hari ini tiada langkah jelas yang diambil untuk berbuat demikian.
“Tiada apa-apa yang ketara yang dilakukan. Terlalu banyak kenyataan kosong dari mereka. Saya amat kecewa dengan prestasi PH. Sehingga bila kami sebagai rakyat boleh menikmati manfaat dari kejatuhan BN?” soalnya.
Beliau menggesa Kerajaan PH supaya segera bertindak menurunkan harga barang kerana rakyat sudah semakin marah dan kecewa terhadap PH.