Husam cadang Muhyiddin jadi timbalan Anwar
Andai tiba masa Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, anggota parlimen Port Dickson itu wajar membalas budi Bersatu dengan melantik tokoh bukan dari PKR sebagai timbalannya.
Naib Presiden Amanah, Husam Musa, menyarankan Anwar memilih Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menduduki jawatan timbalan perdana menteri.
Kata Husam, langkah itu adalah sebagai tanda menghargai kesudian Dr Mahathir Mohamad menjadikan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya sebelum ini.
Untuk rekod ketika pelantikan itu dibuat Wan Azizah ialah presiden PKR.
“Saya mencadangkan, ambil timbalan perdana menteri daripada Bersatu iaitu Muhyiddin,” kata Husam seperti dipetik Sinar Online hari ini.
Husam yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menambah ketika ini ada dua tokoh paling kanan dalam PH, iaitu Anwar dan Muhyiddin.
Katanya apabila tiba waktu yang ditentukan peralihan kuasa akan berlaku apabila ada tokoh lain menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.
Proses itu, kata Husam, mesti berjalan secara teratur dan diserahkan kepada pemimpin paling berpengalaman dan senior.
Dalam keadaan sekarang, katanya, dua pemimpin paling senior dalam PH ialah Anwar dan Muhyiddin.
“Jika Muhyiddin (jadi pilihan Anwar), pasti ia akan menjadi satu kombinasi yang boleh mengamankan peralihan kuasa.
“Dari segi senioriti jawatan, Muhyiddin sangat layak. Malah beliau juga berpengalaman,” katanya.
Pada era Malaysia ditadbir BN, kedua-dua tokoh terbabit pernah diberi kepercayaan menjadi timbalan perdana menteri, masing-masing di bawah Mahathir dan Najib Razak.
Mengenai barisan pelapis pula, Husam menyebut dua nama – juga dari PKR dan Bersatu – iaitu Nurul Izzah Anwar dan Mukhriz Mahathir.
Kata Husam semua pihak perlu menjaga agar tiada lagi pertembungan berlaku di antara keluarga Anwar dan Mahathir seperti pernah berlaku sebelum ini.
“Sinergi antara keluarga Anwar dan Mahathir juga mesti dijaga. Kita tidak boleh biarkan dua keluarga ini berperang semula,” katanya yang menambah, jika keadaan tersebut belaku, ia akan merugikan negara.