PH jaga Melayu, pembangkang pecah perintah
Kerajaan Pakatan Harapan masih menjaga kepentingan orang Melayu tetapi tidak “mengecohkan” usahanya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi PH itu berkata demikian ketika mengulas kerjasama politik terbentuk antara Umno dan PAS dalam usaha meraih sokongan orang Melayu untuk menyingkirkan PH.
Kejayaan kerjasama mereka dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands dan Semenyih juga menyebabkan kedua-dua parti Melayu Islam itu kini meneroka kerjasama lebih erat bermatlamat memenangi sokongan orang Melayu berdasarkan dakwaan yang PH gagal menjaga kepentingan Melayu.
“Kami (PH) menjaga kepentingan orang Melayu tetapi kami tak ‘kecoh’ (mengenainya).
“Mereka (PAS dan Umno) cuba memisahkan orang Melayu daripada kaum lain. Ini sangat buruk untuk negara pelbagai kaum,” katanya hari ini, pada pembukaan sidang Parlimen pertama tahun ini.
Katanya, walaupun kepentingan orang Melayu dijaga kerajaan, ia dilakukan dengan memastikan wujud keadilan dan kesaksamaan terhadap semua kaum lain.
“Kepentingan orang Melayu akan dijaga oleh PH tetapi kami mahu memastikan ia bukan sahaja saksama tetapi adil. Ia perlu adil dan saksama dan bukannya saksama tanpa keadilan,” katanya.
Katanya, PH komited untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan memastikan kaum itu terus dapat berkongsi kekayaan negara.
Dr Mahathir juga mengakui terdapat menteri yang mengeluarkan kenyataan yang memberi gambaran buruk kepada mereka, tetapi ia berlaku kerana kebanyakan menteri PH adalah menteri baharu.
“Saya perlu akui yang ramai antara kami sangat baharu. Kadang-kadang, kita kata perkara yang beri gambaran buruk kepada kita tetapi berikan kami masa kerana mereka (BN) ada 60 tahun mendahului kami,” katanya apabila ditanya mengenai dakwaan PH tidak memahami keperluan rakyat.
Tambahnya, pemerintahan PH belum masuk ulang tahun pertama lagi dan rakyat perlu memberikan masa sewajarnya.
“Kami tak sampai setahun lagi. Saya tak fikir BN pun pakar. Ada antara mereka yang buat kesilapan tak berapa cerdik juga,” katanya