Tahun lepas, sebuah video tular semasa Pilihan Raya Umum ke-14 yang menonjolkan Syed Saddiq, yang kini menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan.
Klip tersebut menceritakan kehidupan kerja ayah beliau, Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff di Singapura. Syed Abdul Rahman yang tinggal di Johor Bharu, perlu bangun seawal 4.30 pagi dan pulang ke rumah pada jam 10.00 atau 11.00 malam, bergantung kepada kesesakan lalu lintas.
Pekerjaan merupakan identiti utama seseorang. Ekonomi Malaysia memerlukan sebuah kerangka baharu berdasarkan persefahaman dan lebih empati. Klise mengenai pekerjaan, gaji dan ekonomi memerlukan anjakan perubahan dengan pendekatan yang berbeza.
Klise ekonomi dalam pekerjaan dan gaji.
Klise pertama, mereka yang bekerja luar negara ialah golongan profesional teratas yang perlu ditarik untuk pulang ke tanah air melalui program ‘brain gain’ ala Talent Corp.
Hakikatnya, kos untuk memadankan golongan berpendapatan tinggi sebanyak SG$ 20,000 sebulan, amat tinggi dan mahal. Tetapi, usaha untuk memadankan seorang pekerja dengan gaji sebanyak SG$ 2,000 sebulan bukanlah satu perkara yang rumit.
Walaupun nilai SG$ 2,000 kini bersamaan RM6,000, ramai rakyat Malaysia akan lebih gembira bekerja di negara sendiri, dengan mendapat dua per tiga daripada jumlah gaji di Singapura di atas dengan memperoleh kualiti hidup yang baik, tanpa perlu bekerja di Singapura.
Pekerjaan pada tahap ini boleh dicipta melalui automasi pekerjaan yang kini telah menggantikan beberapa tugas buruh. Sebagai contoh, penggunaan automasi boleh mengurangkan kerja lima orang kepada seorang: ia meningkatkan produktiviti sebanyak lima kali ganda, tetapi gaji baharu yang dibayar hanya dua kali ganda berbanding kos buruh sebelum ini.
Klise kedua, gaji hanya boleh dinaikkan sekiranya ada peningkatan produktiviti yang setimpal.
Realitinya, tukang bersih jalan boleh melakukan kerja manual tambahan dengan menambah jumlah jam bekerjanya, sedangkan tindakan ini sebenarnya telah mengurangkan produktiviti pekerja tersebut setiap jam. Dengan memperkenalkan mesin, produktiviti pekerja akan bertambah baik. Itulah maksud sebenar kemajuan, apabila kita menambah pekerja berkemahiran dan mengurangkan pekerja tidak berkemahiran dalam ekonomi negara, khusunya pekerja asing.
Klise ketiga, rakyat Malaysia tidak suka memilih pekerjaan 3D – (dirty, dangerous dan difficult) kotor, berbahaya dan sukar.
Ini merupakan satu kisah dongeng kerana rakyat Malaysia akan mengambil pekerjaan 3D jika dibayar dengan setimpal dan saksama. Sebanyak 40 peratus rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berada dalam kategori 3D.
Mereka akan gembira untuk pulang bekerja jika bayaran untuk gaji bulanan mereka RM4,000 ke atas. Masalah di negara kita ialah pekerjaan yang layak buat rakyat Malaysia dibayar kurang daripada RM1,500 sebulan, disebabkan jumlah pekerja asing tidak berkemahiran yang begitu besar, maka kadar gaji tidak berubah sejak dua dekad yang lalu. Lebih teruk lagi, graduan kita dibayar antara RM1,500 dan RM2,500 sebulan, sudah tentu pekerja buruh tidak akan dibayar dengan gaji lebih tinggi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saifuddin Nasution, dalam satu perbincangan baru-baru ini memberitahu bahawa pekerjaan pertama beliau sebagai pengurus ladang estat dibayar gaji sebanyak RM 1,680 sebulan. Itu 32 tahun yang lalu!
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Radzi Jidin, berkelulusan akauntan daripada Australia, dibayar RM 2,000 sebulan, 20 tahun yang lalu.
Jika kita meningkatkan kadar bayaran kepada pekerja, gaji untuk pekerjaan kelas serdahana turut meningkat. Kitaran ekonomi yang baik akan berlaku. Jika keadaan tidak berubah, graduan akan lebih rela memilih pekerjaan sebagai buruh.
Krisis yang membimbangkan
Jika kita gagal menghadapi cabaran pekerjaan dan gaji, kita bakal berhadapan dengan krisis politik pada satu masa nanti. Kita sudah lihat beberapa petanda krisis ini.
Malangnya, perdebatan mengenai kos sara hidup telah menguasai minda pemimpin politik dan orang awam. Jika kita lihat statistik, kadar inflasi pada tahun 2018 ialah satu peratus (3.7% pada tahun 2017) dan amat mengejutkan kadar inflasi negatif 0.7 peratus (tahun ke tahun) pada bulan Januari 2019. Namun, tiada siapa yang merasai faedah kadar inflasi yang rendah dan deflasi teknikal.
Sebabnya mudah, kerana gaji rakyat Malaysia begitu rendah. Dengan hutang isi rumah yang tinggi beberapa dekad lalu, ini bermaksud pendapatan boleh guna juga rendah.
Semenjak krisis kewangan dunia pada tahun 2008, sebahagian besar ekonomi telah dikekalkan dengan penggunaan domestik berasaskan hutang di mana pengguna bergantung kepada hutang untuk membeli barangan keperluan. Modul ini semakin tegang atau meruncing.
Jika tiada sebarang tindakan dalam isu pekerjaan dan gaji, pengguna domestik akan berkurangan. Amat penting bagi pemilik perniagaan negara ini untuk melihat gaji yang tinggi untuk semua pihak, sebagai satu keutamaan nasional bagi mengekalkan ekonomi berterusan, khususnya apabila eksport ke Amerika Syarikat dan Eropah semakin rendah berbanding pra-2008.
Sebagai negara, situasi gaji yang kekal rendah ini mungkin akan mewujudkan dua senario:
Pertama, pengundi akan melahirkan perasaan tidak puas hati (sepertimana yang berlaku ketika PRU-14 apabila ramai telah mengundi Pakatan Harapan), dan akan terus mengeluh mengenai kos sara hidup. Perkara ini merupakan satu “bom jangka” yang sedang berdetik untuk ekonomi kita.
Kedua, penghijrahan tenaga kerja ke luar negara. Rakyat yang sepatutnya boleh menyumbang dan berbakti kepada negara, tidak dapat merealisasikan potensinya kerana terpaksa berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan. Pekerjaan yang mereka ceburi di luar negara pula tidak sepadan dengan kelayakan mereka – contonhya memetik buah di Australia dan New Zealand, atau bekerja sebagai buruh di Korea Selatan.
Tiba masanya kita mengubah kerangka fikiran dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pekerjaan dan gaji. – Roketkini.com
*Liew Chin Tong adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP, Senator merangkap Timbalan Menteri Pertahanan.