PESAN PEMIMPIN LAMA KEPADA ANWAR - TUN MAHATHIR MESTI SELALU DIAWASI



Tidak dinafikan Tun Mahathir Mohamad adalah ahli politik yang licik, pintar dan penuh helah serta selama ini berjaya menewaskan semua musuh-musuhnya.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Hussein Onn, Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim, Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak, semuanya kecundang di tangan beliau.

Cuma dengan Anwar, meskipun pernah memecatnya pada 1998 dahulu, Tun Mahathir terpaksa tunduk dan sanggup merendahkan dirinya bertemu untuk berbaik semula pada 2016 lalu.

Tetapi, tujuannya ketika itu tidak lain ialah semata-mata untuk memudahkan usahanya menumbangkan Najib, selain untuk menjadikan dirinya lebih diterima oleh Pakatan Harapan.

Bagaimanapun setelah berjaya menjadi Perdana Menteri semula, perseteruan kuasa antara Tun Mahathir dan Anwar bagaikan bermula kembali buat kali kedua.

Di sebalik adanya janji persetujuan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, tidak lama selepas mengangkat sumpah jawatan itu, Tun Mahathir sudah memulakan kelicikan dan sikap “telunjuk lurus kelingking berkaitnya” apabila melantik Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam kabinetnya, sekalipun nama Timbalan Presiden PKR itu tidak pernah dicalonkan oleh parti untuk mengisi jawatan menteri lantaran sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Sejak itu mula timbul cakap-cakap beliau didakwa tidak mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, sebaliknya pilihan Tun Mahathir dilihat condong kepada Azmin.

Kemudian, sekalipun dirinya sendiri mengatakan hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja, ayat-ayat beliau selepas itu terus berbelit-belit seperti, “mungkin dua tahun, mungkin lebih, mungkin kurang”, “mungkin lebih sedikit...”, “kalau Anwar beri izin, dapatlah dua tahun setengah” dan sebagainya.

Di ketika yang sama, Tun Mahathir tidak lupa mengatakan beliau akan tetap berpegang kepada janji dan akan menunaikan janjinya kepada Anwar sebagaimana yang sudah dipersetujui Pakatan Harapan itu.

Dengan yang demikian, pandangan, kepercayaan dan tafsiran orangramai berhubung peralihan kuasa itu jadi berbagai-bagai dan tidak senada.

Adakah Tun Mahathir benar-benar akan menunaikan janjinya?

Dari segi hukum normal atau kebiasaan sebagai manusia, Tun Mahathir sebenarnya tidak boleh lari daripada janjinya untuk menyerahkan jawatan itu kepada penggantinya kerana beliau hanyalah sementara saja memegang jawatan itu berikutan Anwar ketika PRU14 lalu masih lagi berada di dalam penjara.

Namun, di sebalik berusia lebih 93 tahun, Tun Mahathir bukanlah seperti manusia biasa apabila dkaitkan dengan kuasa. 

Seseorang yang rapat denganya pernah berkata, Tun Mahathir sekarang seperti rindu kembali kepada kuasa Perdana Menteri yang pernah dilepaskannya pada 2003 dahulu.

Berdepan keadaan ini, seorang bekas menteri yang pernah berada dalam kabinet bersama-sama Tun Mahathir dan Anwar suatu ketika dahulu menasihatkan Presiden PKR agar sentiasa berhati-hati dan awas terhadap setiap gerak-geri politik Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Kata beliau, Tun Mahathir sentiasa banyak muslihat dan tidak pernah ada belas kasihan dalam matlamat yang ingin dicapainya dan kiranya dalam hatinya mahu menyingkirkan seseorang itu, dengan apa cara sekalipun, beliau pasti akan melakukannya.

"Jika Anwar  mudah terleka dan tidak waspada, tidak mustahil beliau akan kecundang sekali lagi kepada Tun Mahathir,"  tegasnya.

Bekas menteri itu mengingatkan bagaimana Tun Mahathir dengan tiada belas kasihan memecat Anwar pada 1998 dahulu, meskipun ketika itu Tun Siti Hasmah mempunyai hubungan yang sangat akrab dan baik dengan Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar.

Susulannya, selepas pemecatan Anwar itu, Tun Siti Hasmah terpaksa menemui Dr. Wan Azizah untuk menenangkan jiwa dan memberinya kata-kata semangat.

Malah, kata bekas menteri itu lagi, sehari sebelum pemecatan itu juga, dalam majlis perasmikan Bangunan UMNO Pulau Pinang, Tun Mahathir masih lagi boleh tersenyum mengatakan Anwar adalah bakal penggantinya.

"Pokoknya, gerak geri dan kata-kata politik Tun Mahathir mestilah selalu diperhati dan diawasi oleh Anwar.

"Kalau Anwar sentiasa awas dan berhati-hati, beliau akan berjaya menjadi Perdana Menteri, sebaliknya jika lalai dan alpa, mungkin sekali Tun Mahathir akan menewaskannya buat kali kedua," pesannya lagi. (ShahbudinHusin 06/01/2019).