Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sekali lagi mengingatkan Bersatu agar tidak melebarkan sayapnya ke negeri itu sebagaimana janji yang pernah dilafazkannya sebelum ini.
Kata beliau, pihaknya sentiasa berpegang kepada perkara itu dan berharap Bersatu juga sentiasa menghormati janji tersebut.
Serentak dengan itu, Shafie mahu Bersatu agar lebih menumpukan usahanya mengukuhkan kedudukan sendiri di Semenanjung saja dan membiarkan Warisan memberi tumpuan di Sabah.
Tetapi, bagaimana jika Bersatu memungkiri janji itu akhirnya?
Apalagi berdasarkan rekod Tun Mahathir Mohamad selama ini, beliau sentiasa licik mencipta alasan jika mahu memungkiri sesuatu janji itu.
Berkaitan janji manifesto PRU14 misalnya, disebabkan tidak mahu menunaikan janji-janji itu, Tun Mahathir dengan selamba mengatakan buku manifesto bukanlah "kitab suci", selain berdalih bahawa manifesto itu dirangka dengan keyakinan Pakatan Harapan tidak akan mampu menumbangkan BN.
Tidakkah sikap itu menunjukkan Tun Mahathir tidak benar-benar bertanggungjawab untuk menunaikan janji-janjinya, sedangkan rakyat sudah memberikan undi kemenangan kepada Pakatan Harapan?
Kiranya janji manifesto pun boleh dimungkiri, apakah tidak mungkin janji tidak mengembangkan sayapnya ke Sabah juga bakal dimungkiri?
Hanya ada satu pilihan saja bagi Shafie jika Bersatu akhirnya berhasrat melebarkan juga sayapnya ke Sabah, mungkin disebabkan untuk memenuhi hasrat bekas pemimpin-pemimpin UMNO yang sudah keluar parti itu - inilah masanya beliau harus menyatakan sokongan lebih kuat dan lantang agar penyerahan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim tidak harus lagi dilengah-lengahkan.
Dengan Anwar menjadi Perdana Menteri dan bukan lagi Tun Mahathir, tidak akan timbul lagi apa-apa isu berkaitan perlunya Bersatu dikembangkan ke Sabah atau tidak.
Apabila Anwar yang menjadi Perdana Menteri juga, bekas pemimpin-pemimpin UMNO yang keluar parti itu pun tentunya tidak bernafsu lagi terhadap Bersatu.
Titik. Selesai masalah bila Anwar jadi Perdana Menteri. Warisan selamat dan Pakatan Harapan juga terus mantap. (ShahbudinHusin 07/01/2019).