Menurut dakwaan A Kadir Jasin, susulan penyertaan Mustapa Mohamed ke dalam Bersatu semalam, seramai 40 lagi Ahli Parlimen UMNO akan turut berbuat demikian.
Kata beliau, kesemua 40 Ahli Parlimen itu sudah pun bertemu dengan Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara tersebut.
Benarkah?
Oleh kerana yang bercakap mengenai perkara berkenaan adalah A Kadir Jasin yang merupakan Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri serta salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, maka sudah tentu sukar untuk kita tidak mempercayai kata-katanya.
Sebagai orang penting yang dekat dengan Perdana Menteri dan hampir dengan puncak kuasa parti, beliau tentunya ada maklumat yang betul dan tahu siapa mereka yang sudah bertemu dengan Tun Mahathir dan Muhyiddin bagi tujuan menyertai Bersatu itu.
Tambahan lagi, Muhyiddin sendiri mengakui ada beberapa Ahli Parlimen datang bertemu dengannya.
Cuma, Muhyiddin masih berteka-teki mengenai jumlah mereka yang datang bertemu dengannya itu.
Sebagai makluman, pada PRU14 lalu, UMNO menang 54 kerusi Parlimen, tetapi sehingga ini enam orang sudah keluar parti di mana empat menjadi Bebas, seorang menyertai Bersatu dan seorang lagi beralih kepada Warisan.
Ini bermakna, UMNO kini ada tinggal lagi 48 Ahli Parlimen bersama dengannya.
Kiranya benar ada 40 Ahli Parlimen UMNO mahu menyertai Bersatu, bukanlah siapa 40 orang itu yang penting untuk diketahui, tetapi yang lebih penting lagi ialah siapakah baki lapan orang yang masih setia tidak mahu meninggalkan UMNO itu?
Mereka itu tetap setia kepada UMNO atau kerana tidak mungkin diterima untuk masuk Bersatu?
Siapakah mereka yang lapan itu?
Agak-agak susahkah kita nak kenal pasti siapa kelapan-lapan orang itu? (ShahbudinHusin 27/10/2018)